Berita UtamaIstimewa

Imej Muhyiddin tercalar, dicop lemah jika ahli terus keluar parti

Bersatu dibayangi ketokohan Tun M sebagai ikon politik ulung

BANGI, 24 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Sekiranya trend keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kalangan ahli berterusan, parti itu semakin terancam dan implikasinya UMNO serta PAS akan melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai seorang pemimpin yang lemah. 

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, ia memberi risiko kepada keupayaan Muhyiddin dalam usaha merundingkan hak Bersatu dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Ramai ahli, pendukung serta pemimpin Bersatu masih keliru dengan krisis di akhir Februari lalu yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya berusia 22 bulan. Mereka tersepit di antara rasa kekal bersama Bersatu pimpinan Muhyiddin atau menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Justeru, pengumuman penubuhan parti Dr Mahathir – Pejuang beberapa hari lepas telah mencetuskan keadaan di mana ahli-ahli Bersatu yang menyokong Dr Mahathir terus menerus bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan kepada parti baharu beliau,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin berpengaruh dan kewujudan Bersatu sebelum ini juga banyak dibayangi oleh ketokohan beliau sebagai ikon politik ulung tanah air.

Ekoran itu, katanya, walaupun Dr Mahathir sudah dipecat dari Bersatu beliau tidak kehilangan sokongan, rasa hormat dan dukungan ahli-ahli parti.

Sementara itu, mengulas pengumuman Dr Mahathir bahawa Pejuang kekal menjadi blok ketiga – tidak bersama Perikatan Nasional (PN) atau PH, Dr Mazlan berkata, keputusan itu menunjukkan keazaman beliau untuk menjadikan Pejuang sebuah parti yang menjadi pemain penting dalam politik Malaysia.

Katanya, ia juga menunjukkan kesediaannya untuk mengambil kembali tampuk pemerintahan negara.

“Bagaimanapun, untuk menilai kedudukan Pejuang masih terlalu awal untuk merumuskan nasib parti baharu ini.

“Tetapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim yang bakal disertai Pejuang ini boleh dijadikan kayu pengukur survival parti ini di masa depan, adakah ia mampu menempa kejayaan dan menjadi ‘king maker’ politik tanah air, sama-sama kita saksikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close