Berita Utama

Judi haram: 3 lagi penguat kuasa MBSA direman

SPRM kini reman 8 penguat kuasa MBSA, seorang peniaga

PUTRAJAYA, 24 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Tiga lagi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan reman untuk membantu siasatan kes menerima dan mengutip rasuah untuk melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.

Perintah reman selama enam hari terhadap tiga lelaki berumur antara 40 dan 43 tahun yang bermula hari ini sehingga Rabu depan (19 Ogos) itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.

Mereka yang ditahan di ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas hadir memberi keterangan, dibawa ke mahkamah kira-kira 8.30 pagi dengan bergari dan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Ini menjadikan jumlah lapan pegawai penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga yang direman bagi membantu siasatan kes yang sama.

Isu tersebut menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button