Berita Utama

Judi: Jangan hanya tangkap cicak mengkarung saja, naga sekali!

PEMBELA akan dedah aktiviti haram jika pihak berkuasa terus tidak acuh

KUALA LUMPUR, 24 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Pihak berkuasa didesak untuk menjejaki dan membuat penahanan terhadap tauke judi yang terbabit dalam menjalankan operasi secara haram dan memberikan rasuah kepada pegawai agensi penguat kuasa.

Menggesa perkara itu, Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, adalah tidak adil sekiranya mereka dibiarkan terlepas tanpa sebarang tindakan.

“Tindakan menahan pegawai penguat kuasa ini hakikatnya hanya ‘tip of the iceberg’. Hanya cicak mengkarung, tapi naga dekat belakang itu mana? 

“Ini sepatutnya perlu dibanteras daripada bawah sampai ke akar umbi,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Kecewa dengan premis judi yang beroperasi secara berleluasa, Haji Aminuddin berkata, fenomena berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan kerana ia berlaku di dalam negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam.

“Isu aktiviti haram ini sudah seolah-olah tidak boleh dibendung. Luar biasa kerana ini negara Islam. Kemenjadian pusat judi haram semakin berleluasa, walaupun undang-undang ada, penguatkuasaan ada. 

“Ianya menimbulkan persoalan besar kepada rakyat, apakah ada pelindung-pelindung kepada tauke judi ini? Ini menjadi pertanyaan, kebimbangan kita. Seolah-olah enforcement tak boleh berbuat apa-apa,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau mahu menyampaikan mesej kepada pihak berkuasa bahawa PEMBELA bertegas untuk menghentikan aktiviti perjudian ini. 

“Resolusi besar yang kita nyatakan sebelum ini adalah dengan menghidupkan kembali Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH). 

“Operasi ini telah dihentikan oleh Pakatan Harapan (PH). Sedangkan operasi ini telah berjaya membanteras aktiviti-aktiviti haram, tapi operasi ini dipolitikkan dan diberhentikan oleh PH. 

“Jadi kita tuntut kerajaan untuk wujudkan balik. Kita juga ada team yang akan monitor, kita akan memantau semua aktiviti haram ini. Kalau pihak berkuasa masih bersikap acuh tak acuh. Jangan terkejut jika kita dedahkan di kemudian hari,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close