Judi: Jangan zalimi peniaga Bumiputera di Sungai Buloh!
Kerajaan Selangor perlu betulkan keadaan, jika tidak PEMBELA bangkit
KUALA LUMPUR, 24 Zulhijjah 1441H, Jumaat – “Jangan bertindak zalim kepada penjaja dan peniaga Bumiputera di Sungai Buloh!”
Demikian tegas Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat memberi, amaran kepada kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan tindakan menyita dan merobohkan gerai yang tidak memiliki lesen perniagaan.
Beliau yang bersimpati kepada nasib peniaga Bumiputera berkata, kerajaan negeri perlu mengembalikan semula hak mereka untuk berniaga.
Terutama sekali, katanya, apabila peniaga-peniaga ini baru sahaja mahu mula ‘bernafas’ setelah berbulan-bulan tidak berniaga ekoran penularan pandemik COVID-19.
“Kerajaan negeri Selangor, MBSA, Datuk Bandar jangan bertindak zalim! Nanti rakyat akan bangkit. Apa dosa penjaja ini, lepas COVID-19 baru nak cari sesuap rezeki?
“Kalian pergi robohkan tempat mereka pula. Bagi balik hak kepada penjaja Bumiputera, jangan aniaya mereka.
“Dah la COVID-19 membuatkan mereka susah, ekonomi susah, MBSA memperburuk keadaan. Bukannya nak tolong, tapi tambah lagi kesusahan,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, jika kerajaan Selangor tidak bertindak untuk memperbetulkan keadaan, maka pihaknya akan bersama-sama masyarakat setempat bangkit memperjuangkan hak mereka untuk berniaga.
“Jangan aniaya Melayu Islam, kerana kami adalah pejuang agama bangsa dan tanah air. Kami tidak akan sanggup melihat orang Melayu terus ditindas, dianayai. Kami akan bangkit untuk mempertahankan hak mereka.
“Kalau kerajaan Selangor tak betulkan perkara ini, kami akan bersama-sama dengan penduduk Sungai Buloh untuk memperjuangkan hak,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan MBSA mengeluarkan 101 notis ke atas premis di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh yang membina struktur tambahan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan berkata, notis itu dikeluarkan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Mohd Rashidi berkata, operasi itu juga membabitkan gerai tanpa kebenaran yang beroperasi di bahu jalan.