Berita Utama

Lagi Jalur Gemilang dikibar terbalik, kali ini di Sabah

Sikap tidak prihatin pemilik restoran undang rasa kesal penduduk

TAWAU, 24 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Meskipun telah diberi amaran keras oleh pihak berkuasa kepada sesiapa yang mengibar Jalur Gemilang secara terbalik, namun malangnya kejadian tersebut masih lagi berlaku.

Terbaharu, tular sekeping gambar di media sosial sebuah restoran di Jalan Chong Thien Vun dekat Tawau, memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Apa yang peliknya, bendera negeri Sabah yang dikibar bersebelahan bendera Malaysia dipasang dengan kedudukan betul dan sempurna.

Seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai Roslan Jumadi, 32, berkata, beliau amat kesal dan terkilan dengan sikap segelintir masyarakat yang masih tidak prihatin sehingga Jalur Gemilang dipasang secara terbalik.

Menurutnya, setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan isu pemasangan bendera secara salah kerap berulang seolah-olah ia hanya perkara remeh.

“Perbuatan begini walaupun nampak kecil tapi ia menggambarkan sikap sebenar individu yang tiada semangat patriotisme dan cintakan bendera yang menjadi lambang kedaulatan negara,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tawau ketika dihubungi berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati pemasangan jalur gemilang secara terbalik itu tidak disengajakan.

“Pemasangan bendera itu dilakukan oleh pekerja restoran terbabit yang secara tidak sengaja terbalik.

“Bagaimanapun, pihak restoran sudah mengambil tindakan serta merta dengan membetulkan semula bendera pada kedudukan sebenar,” katanya sambil menasihat orang ramai menghentikan menyebarkan gambar itu yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close