Berita Utama

3,075 insiden keselamatan siber antara Mac hingga Julai

Ibu bapa dinasihatkan pantau penggunaan internet keluarga

PADANG BESAR, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Ibu bapa perlu mendidik dan menasihati keluarga dalam penggunaan internet agar mereka tidak terjerumus dengan tindakan undang-undang, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata, jumlah insiden keselamatan siber dilaporkan bertambah semenjak penularan wabak COVID-19 iaitu peningkatan sebanyak 109.04 peratus bagi tempoh 18 Mac hingga 31 Julai 2020.

“Sebanyak 3,075 insiden keselamatan siber dilaporkan dalam tempoh tersebut (18 Mac hingga 31 Julai 2020) berbanding 1,471 insiden pada tempoh sama pada tahun 2019 yang diterima oleh Pusat Bantuan Cyber999,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Jelajah Komuniti Digital Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Terdahulu dalam majlis itu, syarikat perkhidmatan telekomunikasi Tune Talk menyampaikan pek permulaan prabayar (kad SIM) kepada 200 anggota RELA dan APM.

Tune Talk akan mengagihkan 10,000 pek prabayar kepada anggota RELA dan APM seluruh Perlis manakala sebanyak 500,000 prabayar akan diagihkan di seluruh negara.

Beliau berkata, kesalahan tersebut melibatkan kes seperti penipuan, pencerobohan, gangguan siber dan kod berbahaya.

Katanya, dalam lambakan maklumat terdapat maklumat yang tidak sahih, oleh itu ibu bapa perlu menasihati keluarga mereka agar berhati-hati sebelum membuat perkongsian di laman sosial agar keluarga tidak terdedah dengan tindakan undang-undang.

“Sebagai contoh ibu bapa perlu memantau apa yang dikongsi oleh anak mereka agar tidak share perkara-perkara yang lucah, isu perkauman, isu agama, institusi raja-raja dan sebagainya,” katanya.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan melipatgandakan kempen agar ibu bapa menasihati ahli keluarga agar berhati-hati dalam dunia digital ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close