4,213 OKP dikesan di Perak
323 OKP dikesan di Manjung bersamaan 7.7 peratus di seluruh Perak

LUMUT, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Seramai 4,213 Orang Kena Pengawasan (OKP) berkaitan penyalahgunaan dadah dikesan di seluruh negara sejak Januari lepas, kata Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, Azizah Ahmad.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 323 OKP dikesan di daerah Manjung iaitu 7.7 peratus daripada jumlah keseluruhan OKP di negeri Perak.
“Daripada jumlah itu, seramai 148 orang merupakan kes baharu, 75 orang kes berulang, 92 penagih baharu dan lapan orang penagih berulang.
“Di mukim Pengkalan Bharu pula meliputi kawasan Pantai Remis dan Segari seramai 60 OKP dikesan,” katanya selepas merasmikan Program Fight for Life! Go Green @ Segari We Care We Serve di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari di sini hari ini.
Program anjuran AADK bersama Jabatan Perikanan Negeri, Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Perhutanan negeri dan beberapa badan bukan kerajaan diadakan sebagai satu daripada terapi kepada OKP yang berteraskan elemen hijau dalam usaha menanam sifat kasih sayang kepada alam sekitar.
Azizah berkata, seramai 79 penagih ditahan menerusi Op Perdana yang dijalankan sejak awal tahun lepas di daerah Manjung dengan jumlah dadah seberat hampir 20 gram.
“Trend penagihan di kawasan Pantai Remis dan Segari pula banyak melibatkan nelayan dengan lokasi ladang kelapa sawit dan rumah kosong dijadikan sebagai tempat penagihan,” katanya. -Bernama