Berita Utama

Bendera terbalik: Alasan tidak sengaja dah tak boleh diterima!

Wanita ISMA desak kerajaan, pihak berkuasa ambil tindakan tegas

BANGI, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Hentilah berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Rakyat sebenarnya sudah jelik dengan sikap ‘mereka’ yang seolah-olah mengambil kesempatan untuk mempersenda simbol kedaulatan negara, kata Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Wanita ISMA), Dr Suriani Sudi. 

Justeru, pihaknya mendesak kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit mnggantung bendera Malaysia terbalik.

Beliau berkata, mustahil untuk pihak yang bertanggungjawab tidak perasan ketika menggantung Jalur Gemilang, sehingga boleh menggunakan alasan tidak sengaja.

“Alasan tidak sengaja tidak boleh diterima. Kita tertanya-tanya apakah maksud tersirat daripada tindakan tersebut?

“Tidak mungkin mereka tidak perasan bendera dipasang terbalik ketika mengikat bendera ke tali bendera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas beberapa insiden Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik sejak kebelakangan ini.

Minggu lalu, sebuah sekolah di Batu 4, Jalan Kapar tular kerana menggantung Jalur Gemilang pada dinding secara terbalik.

Insiden sama juga turut berlaku di sekolah jenis kebangsaan di Kluang, Johor apabila bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik pada tiang bendera sekolah berkenaan.

Kelmarin, tular lagi sekeping gambar apabila bendera Malaysia dipasang secara terbalik di sebuah restoran di Tawau, Sabah.

Ketua Polis Daerah Tawau dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati pemasangan jalur gemilang secara terbalik itu tidak disengajakan.

“Pemasangan bendera itu dilakukan oleh pekerja restoran terbabit yang secara tidak sengaja terbalik,” katanya.

Kesal insiden berulang, Dr Suriani berkata, sebagai warganegara seharusnya tahu bahawa Jalur Gemilang adalah panji dan maruah negara yang sepatutnya dihormati.

“Bendera adalah simbol yang mencerminkan identiti dan kedaulatan negara tersebut.

“Setiap perkara yang telah diwartakan sebagai lambang atau simbol kedaulatan negara, lambang atau simbol yang terlibat tidak boleh diperlakukan dengan sesuka hati,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close