Berita Utama

Bersatu masuk MN untuk kekalkan pengaruh

Meski UMNO dominasi kerusi, pengaruh Muhyiddin 'besar' dalam politik

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pastinya akan terus menerajui kepimpinan politik negara, meskipun Bersatu memutuskan untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, penyertaan Bersatu dalam MN sebenarnya tindakan strategik untuk parti itu mengekalkan pengaruh politik mereka.

Beliau berkata, dengan adanya gabungan tiga parti – UMNO, PAS dan Bersatu dibawah MN – pakatan itu akan menjadi lebih dinamik dan diharap dapat memperjuangkan nasib masa depan politik Melayu dan Islam.

“Kalau kita perhatikan, perpaduan parti amat diperlukan kerana ia dapat mengukuhkan lagi sistem politik negara.

“…ia bukan berbentuk ‘racism’ (perkauman), tetapi sebenarnya sistem politik Melayu sudah banyak mengalami ombak badai sejak UMNO diwujudkan,” katanya.

Dr Syed Agil berkata, meskipun UMNO mendominasi MN dengan memiliki lebih daripada 40 kerusi berbanding Bersatu dan PAS, namun pengaruh Muhyiddin dalam sistem politik negara adalah besar ketika ini.

“Bersatu masuk MN bukan kosong-kosong dan ia pun ada satu permintaan dan persetujuan yang perlu diikuti bersama.

“Walaupun dalam banyak situasi UMNO banyak mendominasi sistem politik, tetapi UMNO juga harus seimbang kerana ada dua parti yang akan bersama-sama membantu dalam kerajaan, “ katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan, penyertaan Bersatu dalam MN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk Bersatu. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, PAS dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada di pihak kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button