Berita Utama

Dua lagi Datuk direman bantu siasat kes projek balak lebih RM27 juta

Salah seorang suspek adalah bekas timbalan pengerusi syarikat

PUTRAJAYA, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Dua individu lelaki bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta di Pahang, lima tahun lepas.

Seorang daripada suspek yang juga bekas timbalan pengerusi syarikat berusia 65 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 18 Ogos depan.

Seorang lagi suspek berusia 40 tahun, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat, direman lima hari mulai hari ini sehingga 19 Ogos depan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut sumber, mereka ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada 5 petang dan 10.20 malam, semalam.

Semalam, media melaporkan SPRM mendapat perintah reman terhadap tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk, bagi membantu siasatan kes yang sama.

Difahamkan, kes ini berkaitan pengambilalihan projek pembalakan di satu daerah di Pahang seluas 6,591.67 ekar pada 2015. (1 ekar = 0.404686 hektar). -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button