Berita UtamaDunia

Korban Taufan Goni meningkat 16 orang

Angin kencang maksimum 225 km/j, kekuatan angin 310 km/j

MANILA, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – Jumlah kematian akibat Taufan Goni, yang melanda selatan pulau Luzon, di Filipina meningkat kepada 16 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Pejabat Pertahanan Awam (OCD) di Bicol, wilayah paling teruk dilanda taufan di selatan pulau Luzon, pada Isnin dalam satu laporan berkata, jumlah kematian meningkat kepada 16 orang, manakala tiga lagi masih hilang.

Goni “Taufan Ganas” ketika pertama kali mendarat pada Subuh Ahad, dengan angin kencang maksimum 225 kilometer sejam dan kekuatan angin sehingga 310 kilometer sejam.

Taufan Goni mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah Bicol, dan meninggalkan kesan kemusnahan di 12 daripada 17 wilayah di Filipina.

Pentadbir Pejabat Pertahanan Awam, Ricardo Jalad, dalam taklimat media berkata, lebih dua juta orang daripada 12 wilayah telah terjejas akibat Taufan Goni.

Taufan Goni melanda berhampiran wilayah yang dilanda Taufan Molave awal minggu ini, yang meragut 22 nyawa dan memusnahkan infrastruktur serta tanaman.

Sementara itu, biro cuaca negara menyatakan pihaknya juga sedang mengesan Ribut Tropika Atsani, yang bergerak sangat pantas dari barat laut ke arah tengah Luzon.

Taufan dan ribut tropika kerap melanda Filipina dari Jun hingga Disember, meragut ratusan nyawa dan menyebabkan kerugian berbilion dolar.

Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Filipina adalah antara negara yang paling sering dilanda bencana di dunia, termasuk gunung berapi aktif, gempa bumi yang kerap, dan rata-rata 20 taufan setahun, menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Filipina kehilangan 463 bilion peso (kira-kira AS$9.56 bilion) sebagai kerugian bencana alam dari 2010 hingga 2019, menurut Lembaga Statistik Filipina. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button