Berita Utama

iGuru kecam Jiao Zong sebar semula propaganda pelampau

Sikap rasis Lim Lian Geok menebal, tolak konsep asimilasi pendidikan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mengecam tindakan pertubuhan radikal, Jiao Zong memuat naik propaganda dan sejarah perjuangan pelampau, Lim Lian Geok.

13 Ogos lalu, Jiao Zong menerusi kenyataan di Facebook, menyiarkan semula sejarah perjuangan mendiang Lim Lian Geok, yang lantang menolak penstrukturan semula sekolah menengah Cina.

Lian Geok pernah mengingatkan semua orang Cina bahawa sekolah menengah Cina adalah kubu pertahanan budaya mereka.

Disebabkan kelantangan itu, kerajaan telah melucutkan taraf kewarganegaraan Lian Geok dan membatalkan sijil kelayakan perguruannya.

Ucapan Lian Geok iaitu “langit di atas kepala, bumi di bawah kaki saya, saya Lim Lian Geok tidak pernah menyerah kalah! Hidup dengan bermaruah! Saya tidak pernah melarikan diri,” – telah dianggap epik dan modal pembakar semangat perjuangan pendidikan Cina.

Presiden iGuru Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, Jiao Zong sengaja menyebarkan semula ucapan berbaur hasutan Lian Geok – seorang pejuang kepada pendidikan Cina dan penentang sistem pendidikan kebangsaan.

Katanya, ucapan Lian Geok itu menunjukkan sikap rasisnya menebal, bahkan angkuh untuk akur kepada sistem pendidikan kebangsaan.

“Ia juga menunjukkan kekentalan Lian Geok untuk terus memperjuangkan agenda pendidikan Cina dan tidak bertolak ansur dalam hal yang menggugat kedudukan sekolah Cina.

“Beliau juga kononnya bermati-matian mempertahankan (sekolah Cina) demi memastikan survival pendidikan Cina di negara ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Menyifatkan ucapan Lian Geok berbaur hasutan, beliau bimbang tindakan Jiao Zong menyiarkannya semula boleh mengundang perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ini kerana dia (Lian Geok) menolak konsep asimilasi pendidikan dan tidak menjunjung semangat Rukun Negara.

“Kesan jangka panjang juga akan mewujudkan dualisme pendidikan dan polarisasi kaum,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button