Berita Utama

Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu setuju sertai Muafakat Nasional

'Kita pilih berada dalam jemaah besar himpun parti-parti utama'

KUALA LUMPUR, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk Bersatu. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, PAS dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada di pihak kita,” kata Muhyiddin dalam perutusan bersempena persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian Bersatu 2020 yang berlangsung hari ini.

Perutusan tersebut dimuat naik melalui sebuah video di laman Facebook rasmi Muhyiddin hari ini.

Pemilihan Bersatu hari ini membuka tirainya membabitkan sayap Armada, diikuti Srikandi esok manakala pemilihan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi pula akan berlangsung semasa persidangan peringkat bahagian yang dijadualkan 22 Ogos ini.

Muhyiddin yang juga pemangku pengerusi parti, menegaskan beliau sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti seperti UMNO, PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Jelasnya, beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan itu yang antara lain akan memperkukuhkan lagi kedudukan Bersatu dan parti-parti rakan yang lain dalam Perikatan Nasional.

“Insya-Allah, penyatuan dalam jemaah besar ini akan mewujudkan kestabilan politik negara yang pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Dalam video berdurasi 15 minit itu, Muhyiddin turut mengingatkan ahli parti agar meneruskan dan mempertahankan perjuangan walaupun ada pemimpin terdahulu seperti bekas pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih haluan lain.

“Dahulu Tun Mahathir bersama-sama dengan kita. Saya tidak boleh nafikan sejarah sumbangannya kepada parti kita. Saya hormat kepada beliau sebagai bekas pemimpin parti. Orang-orang yang dekat dengan saya pasti tahu betapa hormatnya saya kepadanya.

“Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tidak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

“Yang penting perjuangan parti ini mesti diteruskan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti mesti terus dipertahankan,” katanya sambil menegaskan yang beliau tidak mempunyai sebab untuk mengkhianati parti yang ditubuhkannya itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mengingatkan akan kepentingan memperkukuhkan parti menerusi pertambahah ahli dan cawangan di setiap bahagian agar terus menjadi sebuah parti yang penting dan berpengaruh di persada politik tanah air.

“Kita mesti jalan terus. We must move on. Jangan kita berpaling ke belakang. Teruslah mara ke depan. Apa yang ada di depan kita mesti kita hadapi dengan tabah.

“Dalam tempoh empat tahun ini (sejak Bersatu ditubuhkan), jumlah keahlian parti kita telah mencecah lebih 420,000 orang di seluruh negara. Kita juga telah menubuhkan 197 bahagian dan 2,950 cawangan yang berdaftar. Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Menyentuh mengenai pemilihan parti, Muhyiddin yang telah menang tanpa bertanding jawatan presiden parti berkata kalah menang adalah adat resam pertandingan yang seharusnya dibuktikan menerusi keikhlasan dalam perjuangan demi parti malah turut mengingatkan bahawa jawatan yang dipegang adalah amanah yang mesti dijalankan dengan penuh tanggungjawab. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button