Mayat wanita warga emas reput ditemukan di dalam sungai
Pergelangan tangan tertanggal, kulit berpisah daripada isi
PARIT, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Mayat dipercayai wanita warga emas yang sudah reput ditemukan di dalam Sungai Perak, Kampung Padang Tenggala, Bota di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu daripada seorang lelaki pada jam 8.30 pagi.
“Mayat yang berada di tengah sungai dan tersangkut pada tali rumah pam Sungai Perak berjaya dibawa keluar pada pukul 11.15 pagi dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Parit yang dibekalkan set peralatan perlindungan diri (PPE) sebagai langkah pencegahan penyakit COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas mayat wanita tanpa pakaian itu mendapati pergelangan tangannya telah tertanggal daripada badan manakala kulitnya berpisah daripada isi.
“Penilaian mendapati mayat disyaki berada di dalam air lebih kurang seminggu berdasarkan keadaan tubuh badannya namun tiada kecederaan yang ditemui mahupun unsur jenayah yang dikesan,” katanya.
Katanya, mayat wanita itu dibawa ke Hospital Changkat Melintang Bota untuk dibedah siasat namun punca kematian tidak dapat dikenal pasti disebabkan keadaan mayat terlalu reput.
Susulan itu, beliau berkata, sampel tulang mayat itu telah dihantar ke unit forensik Pulau Pinang untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi siasatan lanjut serta mengenal pasti identiti mayat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -Bernama