Berita UtamaIstimewa

Nak pelihara Tanah Rizab Melayu? Itu hanya umpan DAP

Pemimpin DAP patut ulas kesan buruk adanya sekolah vernakular

BANGI, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh disarankan membawa keputusan Muzakarah Fatwa Negeri iaitu haram hukumnya orang Islam menjual tanah kepada bukan muslim ketika sesi sidang Dewan Rakyat sekiranya betul mahu memperjuangkan Tanah Rizab Melayu.

Demikian cabar Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Pusat, Ustaz Zamani Ibrahim selepas ahli parti tamak haloba DAP itu kononnya mahu Tanah Rizab Melayu dipelihara.

Pada 12 Ogos lalu, Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi akaun rasmi Twitter memuat naik kenyataan mahu Tanah Rizab Melayu dipelihara.

“Saya daripada parti DAP. Saya mahu Tanah Rizab Melayu dipelihara. Saya tanya Kerajaan Perikatan Nasional apa yang mereka akan buat untuk pelihara Tanah Rizab Melayu,” tulisnya.

Beliau turut memuat naik video dipercayai ketika sesi sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen berhubung soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli mengenai Tanah Rizab Melayu.

Dalam video berkenaan, Hannah bertanyakan soalan apakah rancangan kerajaan untuk memulihara Tanah Rizab Melayu seperti Kampung Sungai Penchala yang mempunyai ciri-ciri kampung tapi dilihat mula ada usaha untuk menjual tanah itu kepada pemaju yang akhirnya membina kondominium.

Mengulas perkara itu, Ustaz Zamani mendakwa, apa yang diungkapkan oleh pemimpin berkenaan ianya tidak lebih hendak ‘menggula-gulakan’ orang Melayu sahaja.

Dakwanya, pemimpin DAP cuba hendak mengambil hati orang Melayu agar parti itu dipandang sebagai parti yang mengambil berat hak-hak bangsa berkenaan.

“DAP ni parti rasisme dan cauvinisme. Inilah wajah sebenar bagi DAP.

“Orang Melayu sudah terlalu kenal dengan DAP, jadi tidak perlulah pemimpin DAP hendak mengumpan orang Melayu dengan mulut manis,” bidasnya.

Ustaz Zamani juga secara sinis menasihati pemimpin DAP untuk tidak bercakap mengenai Tanah Rizab Melayu, sebaliknya mengulas kesan buruk adanya sekolah vernakular di negara ini.

“Lebih baik pemimpin DAP bercakap mengenai perpaduan dan keharmonian kaum. Bercakaplah mengenai kesan negatif dengan wujudnya sekolah-sekolah vernakular,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button