Berita UtamaDunia

Pakistan hati-hati dengan perjanjian kontroversi UAE-Israel

Keamanan dan kestabilan wilayah Palestin mesti dipelihara

KARACHI, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Pakistan berhati-hati dengan kesepakatan kontroversi antara negara haram Israel dam Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang kononnya mahu menangguhkan peluasan wilayah di tanah Palestin.

“Kami mengambil maklum persetujuan UAE dan negara tidak diiktiraf – Israel untuk melakukan normalisasi hubungan sepenuhnya. Ini adalah perkembangan yang mempunyai implikasi yang besar,” kata kenyataan dari Kementerian Luar Negeri semalam.

Islamabad berkata, pihaknya berpegang kepada hak dan aspirasi rakyat Palestin mesti ditegakkan serta keamanan, keselamatan dan kestabilan wilayah dipelihara.

“Pakistan mempunyai komitmen teguh untuk mewujudkan sepenuhnya hak sah rakyat Palestin, termasuk hak menentukan nasib sendiri.

“Keamanan dan kestabilan di wilayah Timur Tengah juga adalah keutamaan Pakistan,” kata kenyataan itu lagi.

Katanya lagi, untuk perdamaian yang adil, komprehensif dan berkekalan, Pakistan secara konsisten mendukung penyelesaian dua negara sesuai dengan resolusi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang relevan serta undang-undang antarabangsa.

Israel dan UAE bersetuju untuk menormalkan hubungan, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis, dalam satu langkah yang mencegah rancangan kontroversi Israel untuk aneksasi sejumlah besar Tebing Barat yang diduduki.

Perkembangan ini hanya menandakan kali ketiga negara Arab membuka hubungan diplomatik penuh dengan Israel, dan Emiriah kini adalah negara Arab Teluk pertama yang melakukannya.

Negara Arab lain yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel adalah Mesir dan Jordan.

Terdahulu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Ketua Politik Hamas, Ismail Haniyeh mengecam pengumuman perjanjian normalisasi antara UAE dan rejim pengganas Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button