Penyertaan Bersatu, Zahid serah kepada jawatankuasa MN
Jawatankuasa dipengerusikan Timbalan Presiden UMNO, PAS
TANJUNG MALIM, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyerahkan seluruhnya kepada Jawatankuasa Muafakat Nasional (MN), berhubung penyertaan Bersatu dalam gabungan UMNO-PAS itu.
Beliau berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan bersama Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Jawatankuasa ini telah mengambil jalan terbaik untuk memurnikan keadaan atas rasa perkongsian politik. Mudah-mudahan ini akan memberikan keberhasilan yang optimum, apabila Pilihan Raya Umum diadakan,” katanya selepas pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Rajawali Felda Residence Trolak di sini, hari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu dalam perutusan bersempena persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian Bersatu 2020 hari ini, berkata, penyertaan Bersatu dalam MN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata parti politik yang mahu bekerjasama dengan BN haruslah benar-benar ikhlas dan bersedia menterjemahkannya dalam semua bentuk kerjasama politik termasuk pada PRK DUN Slim.
Zahid berkata, sebarang perbezaan pendapat atau pegangan politik perlu diketepikan, kerana yang penting adalah kejujuran dan keikhlasan dalam perkongsian politik.
“Namun oleh kerana ini merupakan PRK Slim dan yang lebih penting lagi kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), maka perkara ketidaksetujuan harus diketepikan, dengan syarat kejujuran dan keikhlasan diterjemahkan dalam semua bentuk kerjasama,” katanya.
Terdahulu Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, jentera Pemuda perlu bekerja keras bagi memastikan calon BN Mohd Zaidi Aziz, memenangi kesemua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada PRK DUN Slim.
“Kita mahu 8,000 undi yang diperoleh BN pada PRU14 lalu harus dikekalkan sebagai asas. Kita mahu 4,000 undi diperoleh PAS dan 6,000 undi diperoleh Bersatu, wajib datang kepada kita (BN),” katanya.
PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi dan dua calon Bebas iaitu bekas guru S. Santharasekaran, 44, serta peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), yang belum didaftar secara rasmi.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN, pada 15 Julai lepas.
Pada PRU14, Mohd Khusairi memperoleh 8,327 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim yang meraih 6,144 undi dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal (4,103 undi). -Bernama