Rakyat Palestin kecewa perjanjian khianat UAE-Israel
Mesir negara Arab pertama adakan perdamaian dengan Israel
BAITULMAQDIS, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Rakyat Palestin kecewa dengan perjanjian normalisasi antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara haram Israel – yang dianggap sebagai pengkhiatan terhadap negara mereka.
Terdahulu Israel kononnya bersetuju untuk menghentikan penaklukan di wilayah Palestin di bawah perjanjian damai dengan UAE yang disaksikan Amerika Syarikat (AS).
Dalam kenyataan bersama AS, UAE dan Israel berkata, langkah itu akan mendorong ke arah proses damai Timur Tengah dan bukti keberanian serta diplomasi tiga pemimpin negara – merujuk Donald Trump, Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammed Zayed al-Nahyan dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Israel dikatakan akan menangguh rancangan untuk merampas sebahagian wilayah Tebing Barat dan memfokuskan usaha memperluas hubungan dengan negara-negara Arab dan Islam lain.
Yakin perjanjian itu hanya helah, warga emas Palestin, Saeed Ibrahim, 83, berkata, kesepakatan itu satu pengkhianatan terbaharu terhadap perjuangan Palestin – berpunca daripada negara-negara Arab.
“Semuanya bermula apabila Anwar Sadat berkunjung ke al-Quds (Baitulmaqdis). Mesir adalah puncanya,” katanya merujuk kunjungan bekas Presiden Mesir ke Israel.
“Sebelum ini, tidak ada yang berani untuk mengadakan perdamaian dengan Israel,” tambahnya.
Pada 1979, Mesir menjadi negara Arab pertama menjalin hubungan damai dengan Israel mengikut perjanjian Kem David disokong AS.
Jordan mengikut jejak langkah Mesir beberapa dekad kemudian, malah turut menandatangani perjanjian damai dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel pada 1994.
Rakyat Palestin sememangnya dapat menghidu hubungan UAE dan Israel, meskipun kedua-dua negara itu belum mengadakan pengumuman rasmi dalam masa terdekat.
Perkembangan ini menandakan kali ketiga negara Arab membuka hubungan diplomatik dengan Israel, termasuk Mesir dan Jordan. – Agensi