Ramai pesakit kritikal, 3 hospital di Beirut musnah akibat letupan
Pihak hospital juga tidak mampu beli ubat-ubatan, bayar gaji kakitangan
BEIRUT, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Sekurang-kurangnya tiga hospital utama dan separuh daripada jumlah klinik di ibu negara Lubnan tidak berfungsi – akibat rosak teruk dalam letupan baru-baru ini – yang mengorbankan lebih dari 200 orang serta mencederakan ribuan penduduk.
Pengamal media, Bernard Smith dari Al Jazeera berkata, letupan yang menggemparkan masyarakat dunia pada 4 Ogos itu telah memusnahkan sebahagian Hospital St George, termasuk wad bersalin.
“Tiga hospital di Beirut tidak berfungsi dan sekitar 25 kemudahan kesihatan lain turut tidak berfungsi menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Terdapat juga peningkatan kes Coronavirus – risiko lain untuk pesakit barah kanak-kanak dan mungkin menyebabkan kesihatan mereka terganggu,” katanya.
Pakar Pediatrik Onkologi, Peter Noun berkata, terdapat kanak-kanak yang menjadi anak yatim dan ada di antara ibu bapa yang dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Anda dapat bayangkan betapa sukarnya pesakit. Mereka menghidap barah, mereka takut dengan letupan dan bunyi bising, malah ada yang melihat ibu bapa mereka mati dan berada dalam keadaan kritikal,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 110 kanak-kanak kini menjalani rawatan bagi penyakit barah di hospital.
Krisis kewangan dan kekurangan mata wang dolar di Lubnan menyebabkan pihak hospital tidak mampu membeli ubat-ubatan asing serta membayar gaji kakitangan mereka. -Agensi