Berita Utama

Kes COVID-19 terus meningkat, 22,413 dilaporkan pada ME 51

KKM jamin terus pantau, ambil tindakan sepatutnya apabila perlu

BANGI, 10 Jamadilakhir 1445H, Sabtu – Sebanyak 22,413 kes COVID-19 dilaporkan pada hari keenam Minggu Epidemiologi ke-51 (ME 51/2023) iaitu bagi tempoh 17 Disember hingga 22 Disember lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berlaku peningkatan sebanyak 29.5 peratus berbanding 17,307 kes yang dilaporkan pada hari keenam ME 50/2023.

“Pada tempoh yang sama juga, jumlah kes kematian COVID-19 yang dilaporkan menurun sebanyak 23.1 peratus, iaitu dari 26 kes kematian kepada 20 kes kematian.

“Secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan pada ME 50/2023 berbanding ME 49/2023 iaitu pengisian katil bukan kritikal meningkat kepada 1.5 peratus dan pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU), meningkat kepada 3.6 peratus,” katanya dalam status terkini COVID-19, hari ini.

Berhubung vaksin COVID-19, Dr Dzulkefly memaklumkan, hanya 50 orang menerima dos penggalak pertama, manakala 120 orang menerima dos penggalak kedua pada 22 Disember.

Secara kumulatif sehingga semalam, beliau berkata, hanya 16,347 penduduk Malaysia iaitu 50.1 peratus telah menerima dos penggalak pertama dan 828,686 lagi menerima dos penggalak kedua.

“Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi COVID-19 dan mengambil tindakan segera dan wajar apabila diperlukan.

“KKM juga ingin menasihatkan orang ramai agar mengamalkan penilaian dan kawalan kendiri yang baik termasuk memastikan kebersihan diri bagi mengelak daripada dijangkiti penyakit berjangkit termasuk COVID-19,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai melaksanakan tanggungjawab sivik bagi melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi ahli keluarga dan seluruh masyarakat terutama golongan berisiko tinggi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button