Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaIstimewa

Apa motif Jiao Zong agungkan Lim Lian Geok?

Pasti sejarah mendiang diulang-ulang di sekolah vernakular

BANGI, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – “Apa motif Jiao Zong memuat naik hantaran di Facebook – mengagungkan Lim Lian Geok yang pernah dibuang kerakyatan Malaysia?,” soal Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya. 

Jiao Zong pada 13 Ogos, menyiarkan semula sejarah perjuangan mendiang Lim Lian Geok, yang lantang menolak penstrukturan semula sekolah menengah Cina.

Lian Geok pernah mengingatkan semua orang Cina bahawa sekolah menengah Cina adalah kubu pertahanan budaya mereka.

Disebabkan kelantangan itu, kerajaan telah melucutkan taraf kewarganegaraan Lian Geok dan membatalkan sijil kelayakan perguruannya.

Ucapan Lian Geok iaitu “langit di atas kepala, bumi di bawah kaki saya, saya Lim Lian Geok tidak pernah menyerah kalah! Hidup dengan bermaruah! Saya tidak pernah melarikan diri,” – telah dianggap epik dan modal pembakar semangat perjuangan pendidikan Cina.

Mempersoal tindakan pertubuhan radikal Cina itu, Haji Aminuddin berkata, mendiang juga terkenal dikaitkan dengan pelbagai kontroversi termasuk menghasut membenci Yang Di-Pertuan Agong dan kerajaan sehingga mencetuskan perpecahan kaum. 

“Memang sudah banyak cubaan untuk melenyapkan fakta sejarah ini tetapi gagal. 

“Maka, mungkin ini pendekatan baharu mereka iaitu dengan menormalisasikan ‘cerita-cerita perjuangan’ Lim Lian Geok kepada masyarakat sehingga satu hari nanti masyarakat akan menerimanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haji Aminuddin turut mempersoal sekiranya naratif perjuangan Lim Lian Geok diangkat oleh Jiao Zong – Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina se-Malaysia – maka apakah jaminan murid yang dididik sekolah vernakular Cina tidak didoktrinkan sedemikian rupa di sekolah.

“Saya pasti ‘cerita-cerita perjuangan’ Lim Lian Geok ini akan sering diulang-ulang di sekolah mereka. 

“Pastinya ramai yang menjadikannya sebagai idola,” katanya bimbang dengan tindakan terbaharu Jiao Zong ini.

Justeru, katanya, NGO-NGO Islam terutamanya ISMA berusaha untuk mencabar keabsahan sekolah vernakular di mahkamah selain menggesa mewujudkan sekolah satu aliran dan memperkasakan sekolah aliran kebangsaan.

“Saya mempunyai visi dan impian yang anak-anak kita dapat bersekolah di bawah satu bumbung, berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan antara satu sama lain dan saling mengenali sejak di bangku sekolah lagi.

“Kita tidak perlukan UEC, kita tidak perlukan sekolah vernakular. Perkasakan identiti kebangsaan, di mana ianya bermula dengan pendidikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button