Berita UtamaDunia

Bahrain pula jalin hubungan diplomatik dengan Israel?

Pemimpin Palestin anggap perjanjian UAE-Israel satu pengkhianatan

MANAMA, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – Bahrain kemungkinan akan mengikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam menandatangani perjanjian damai dengan Israel, kata seorang pegawai Israel semalam. 

Saluran televisyen Hebrew, Kan memetik pejabat yang tidak disebutkan namanya mengatakan ‘Bahrain diharapkan menjadi negara berikutnya, yang akan menjalin hubungan rasmi dengan Israel.’

Tidak ada jangka waktu yang ditentukan, atau perincian lebih lanjut diberikan, walaupun laporan daripada penyiar itu juga menyebutkan bahawa seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) memberitahu media Palestin bahawa Bahrain dan Oman diharapkan dapat menormalkan hubungan dengan negara haram Israel dalam waktu dekat.

Bahrain adalah negara Teluk pertama yang secara rasmi mengulas mengenai langkah diplomatik antara UAE dan Israel. 

Menurut agensi berita Bahrain, Manama menyambut baik perjanjian damai itu dan mengucapkan tahniah kepada UAE kerana ‘mengambil langkah untuk meningkatkan peluang  perdamaian Timur Tengah.’

Sementara itu, penasihat kanan dan menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner juga mengisyaratkan bahawa negara Arab lain dapat membuat perjanjian dengan Israel ‘dalam waktu terdekat’.

Terdahulu, Trump membuat pengumuman bahawa UAE dan Israel secara formal telah menormalisasi hubungan. 

Sebagai pertukaran, Israel dijangka akan ‘menangguhkan’ rancangan untuk mengilhak sejumlah besar Tebing Barat yang diduduki. 

Bagaimanapan pemimpin Palestin menganggap perjanjian itu sebagai pengkhianatan dan mengecam perjanjian trilateral (tiga pihak) yang dibuat antara UAE, Israel dan AS.

Sebelum ini, Israel telah menandatangani perjanjian damai dengan Mesir dan Jordan, masing-masing pada 1979 dan 1994. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button