Berita Utama

Bendera terbalik: Maaf saja tak cukup, perlu tindakan!

Jika tak tahu pasang, boleh tanya orang lain, mudahkan?

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – Tindakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik – walaupun atas alasan tidak sengaja – tidak boleh dimaafkan kerana insiden sama kerap berulang, seolah-olah hanya kesilapan biasa.

Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia, Sani Othman berkata, bendera Malaysia adalah maruah dan lambang kebanggaan negara yang tidak boleh dipermainkan sesukati hati.

“Jangan maafkan pelaku, yang penting ambil tindakan tegas ke atas mereka. Polis harus siasat dan tak perlu tegur lagi.

“Kalau tidak tahu pasang bendera boleh tanya orang lain dan ianya sangat mudah,” katanya tegas ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian mengulas beberapa insiden Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik sejak kebelakangan ini.

Minggu lalu, sebuah sekolah di Batu 4, Jalan Kapar tular kerana menggantung Jalur Gemilang pada dinding secara terbalik.

Insiden sama juga turut berlaku di sekolah jenis kebangsaan di Kluang, Johor apabila bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik pada tiang bendera sekolah berkenaan.

Kelmarin, tular lagi sekeping gambar apabila bendera Malaysia dipasang secara terbalik di sebuah restoran di Tawau, Sabah.

Ketua Polis Daerah Tawau dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati pemasangan jalur gemilang secara terbalik itu tidak disengajakan.

“Pemasangan bendera itu dilakukan oleh pekerja restoran terbabit yang secara tidak sengaja terbalik,” katanya.

Mengulas lanjut, Sani menyifatkan undang-undang di negara ini terlalu ‘lembut’ dalam mengambil tindakan ke atas pelaku yang memasang bendera Malaysia secara terbalik.

“Jangan manjakan dan jangan terlalu baik. Kerajaan termasuk pengamal undang-undang perlu bertegas dan jangan bersikap sambil lewa.

Beliau turut memberi contoh denda yang boleh dikenakan ke atas pelaku adalah sebanyak RM5,000.

Katanya, denda berkenaan akan memberi peringatan kepada sesiapa sahaja untuk lebih berhati-hati.

“Kali kedua beri amaran. Jika kali ketiga dipersendakan, kerajaan perlu buat tindakan lebih drastik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button