Cukuplah dijajah beratus tahun, kenapa kita pula pijak negara sendiri?
Henti perbuatan pijak atau terbalikkan Jalur Gemilang
BANGI, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – Setiap warga Malaysia bertanggungjawab menjaga nama baik dan menumpukan taat setia kepada negara, tegas Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang, Dr Hasnah Hussiin.
Beliau berkata, rakyat perlu memainkan peranan mengekalkan identiti bangsa Malaysia, bersama-sama berganding bahu, sentiasa bekerjasama, bertolak ansur, mengamalkan toleransi dan hormat pada undang-undang negara.
Tidak kira apa pekerjaan daripada pemerintah hingga rakyat, semua mempunyai tanggungjawab untuk negara, katanya.
“Walaupun kerjaya berbeza, semuanya pelengkap kepada pembangunan negara.
“Tidak kira sama ada seseorang itu ahli politik, pemimpin, doktor, peguam, guru, pengutip sampah, peniaga atau posmen, semuanya bertugas untuk negara,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan BH Online, hari ini.
Beliau meluahkan rasa kesal kerana kebelakangan ini dapat dilihat rakyat menghina negara sendiri di negara luar atau menulis perkara tidak baik mengenai negara sendiri, termasuk perbuatan menghina Jalur Gemilang.
“Ini sangat tidak bermoral kerana sebagai warganegara kita seharusnya menjaga nama baik negara atau dengan perkataan lain, kita wajib menjaga rumah kita.
“Hentikan perbuatan memijak atau menterbalikkan Jalur Gemilang, menghina institusi dan pemimpin, agama serta segala perbuatan yang boleh merosakkan negara kita sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan, semua perbuatan tidak bertanggungjawab ini akan terpalit kepada diri dan negara juga.
“Orang luar pula ketawa kerana kita sendiri yang merosakkan negara.
“Cukup negara terjajah beratus tahun, membiarkan kepala pemimpin dan rakyat dipijak. Hari ini, kita pula yang memijak negara sendiri?
“Kalau dahulu kita dapat lihat nenek moyang bergadai nyawa mengusir penjajah, hari ini kita tidak perlu bergadai nyawa memikul senjata, tetapi duduk, bekerja, bantu dan sokong pemimpin perkasakan agenda negara,” katanya.