Berita Utama

DAP mahu pelihara Tanah Rizab Melayu demi kepentingan politik?

Kitar semula taktik lama selepas pendekatan 'pakai tudung dan buka puasa di surau' gagal

BANGI, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – Tindakan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bertanyakan soalan mengenai langkah kerajaan untuk memelihara Tanah Rizab Melayu menimbulkan persoalan.

Pemerhati politik, Ustaz Ibrahim Hassan al-Hafiz mepersoalkan sama ada tindakan itu demi kepentingan politik DAP untuk mendapatkan pengaruh dan undi.

“Sefaham kita, DAP tidak pernah memperjuangkan Tanah Rizab Melayu pun sebelum ini. Jadi timbul tanda tanya apakah motif soalan ini. Adakah demi kepentingan politik DAP untuk mendapatkan pengaruh dan undi Cina?

“Atau DAP mahu dilihat menjaga kepentingan Melayu? Jika ini tujuannya maka DAP hanya mengitar semula taktik lama setelah tidak berjaya dengan pendekatan memakai tudung dan berbuka puasa di surau.

“Dalam suasana sokongan Melayu nampak berpihak kepada Perikatan Nasional (PN), tindakan DAP itu dilihat terdesak kerana tiada isu yang boleh dimainkan dan dilihat sebagai anti-Melayu,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi akaun rasmi Twitter memuat naik kenyataan mahu Tanah Rizab Melayu dipelihara.

“Saya daripada parti DAP. Saya mahu Tanah Rizab Melayu dipelihara. Saya tanya Kerajaan Perikatan Nasional apa yang mereka akan buat untuk pelihara Tanah Rizab Melayu,” tulisnya.

Beliau turut memuat naik video dipercayai ketika sesi sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen berhubung soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Anak Biju mengenai isu berkenaan.

Dalam video berdurasi satu minit itu, Hannah bertanyakan soalan apakah rancangan kerajaan untuk memulihara Tanah Rizab Melayu seperti Kampung Sungai Penchala yang mempunyai ciri-ciri kampung tapi dilihat mula ada usaha untuk menjual tanah itu kepada pemaju yang akhirnya membina kondominium.

Beliau bagaimanapun dilihat tidak berpuas hati apabila Ali memberi jawapan soalan pemuliharaan Tanah Rizab Melayu perlu dijawab oleh kerajaan negeri masing-masing.

Hannah membidas bahawa Kampung Sungai Penchala di Wilayah Persekutuan justeru ia di bawah kementerian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button