Berita UtamaDunia

Facebook India benar ahli parti BJP siar ucapan kebencian anti-Islam

Tindakan tidak diambil kerana eksekutif tertinggi bimbang prospek perniagaan terganggu

NEW DELHI, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – Facebook hanya membiarkan ucapan berasas kebencian oleh ahli politik Parti Bharatiya Janata (BJP), termasuk membenarkan penyiaran berbentuk anti-Islam di platformnya, dakwa laporan yang disiarkan di Wall Street Journal (WSJ).

Laporan WSJ mengatakan seorang eksekutif Facebook terkemuka di India menolak untuk mengambil tindakan terhadap ahli politik BJP serta ‘individu dan kumpulan nasionalis Hindu’ yang lain.

“Eksekutif tertinggi dasar awam syarikat di negara ini, Ankhi Das, menentang tindakan terhadap (T Raja) Singh dan tiga individu serta kumpulan nasionalis Hindu lain kerana mempromosi atau mengambil bahagian dalam keganasan,” menurut bekas pekerja Facebook.

Singh, satu-satunya penggubal undang-undang BJP di negeri Telangana selatan, terkenal dengan retorik anti-Islam.  

WSJ mengatakan bahawa ahli politik sayap kanan menerusi catatan Facebook menuntut pelarian Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam, ditembak – mereka turut memanggil India muslim sebagai pengkhianat dan mengancam akan merobohkan masjid. 

Pada Mac tahun ini, laporan tersebut menyebut, kakitangan Facebook yang bertanggungjawab dalam undang-undang platform itu mendapati Singh telah melanggar peraturan ucapan kebencian mereka dan menyarankan untuk menutup akaunnya.

Tetapi Ankhi Das enggan bertindak terhadap Singh, yang mempunyai puluhan ribu pengikut di Facebook dan Instagram milik syarikat itu, katanya.

Das, yang tugasnya juga melobi pemerintah India atas nama Facebook memberitahu, sekiranya tindakan dikenakan terhadap ahli politik dari parti Perdana Menteri India,  Narendra Modi – ia akan merosakkan prospek perniagaan syarikat itu, kata laporan memetik pekerja sekarang dan bekas pekerja yang tidak disebutkan nama.

Laporan itu juga menyebutkan sekurang-kurangnya dua pemimpin BJP yang lain membuat posting kebencian dan membuangnya dari laman di Facebook setelah surat khabar yang berpangkalan di Amerika Syarikat menghubungi mereka untuk mendapatkan respons.

Dalam catatan Facebook, Ahli Parlimen BJP, Anantkumar Hegde, didakwa menuduh bahawa umat Islam menyebarkan coronavirus di negara ini sebagai sebahagian dari konspirasi yang disebut ‘Corona Jihad’. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button