Berita Utama

Jiao Zong bimbang kuota bidang SJKC untuk PISMP tak dipenuhi?

Pertubuhan Cina akan bantu pemohon yang gagal buat rayuan

BANGI, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – Pertubuhan radikal, Jiao Zong menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menangani masalah kuota Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang tidak dipenuhi untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), selain mengadakan pertemuan dengan pertubuhan Cina untuk berbincang mengenai perkara itu.

Menurut pertubuhan itu, sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, kuota kemasukkan bidang SJKC tidak dapat dipenuhkan, misalnya pada 2018, kuota bidang SJKC adalah sebanyak 1,020, namun hanya 424 orang yang diterima masuk untuk PISMP.

“Kuota pada 2019 pula ialah 1,460 dan hanya selepas berusaha mengadakan dua kali pengambilan pelajar barulah 1,054 orang berjaya memasuki program PISMP, keadaan ini amat membimbangkan.

“Oleh itu, Jiao Zong menggesa KPM menangani masalah kuota bidang SJKC yang tidak dipenuhi, selain mengadakan pertemuan untuk bertukar pendapat dengan pertubuhan Cina agar perkara ini dapat dibincangkan dengan mendalam dan sumbang saran dapat dilakukan untuk mengetahui punca kepada masalah ini.

“…misalnya adakah terdapat kelemahan dalam sistem pemilihan? Atau anak muda kaum Cina sudah tidak berminat menjadi guru? Atau ada sebab lain,” kata Jiao Zong menerusi hantaran di Facebook pada 13 Ogos lalu.

Jiao Zong berpendapat bahawa usaha mencari punca kepada masalah itu sangat penting selain mencari penyelesaian yang berkesan untuk menanganinya.

Jelasnya, jika masalah itu dibiarkan berpanjangan akan menyebabkan masalah kekurangan tenaga pengajar di SJKC semakin meruncing.

Jiao Zong turut menggesa semua pemohon bidang SJKC yang berjaya agar tidak mensia-siakan kuota yang ada dengan melaporkan diri pada tarikh dan waktu yang ditetapkan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Susulan pengumuman senarai pemohon PISMP yang berjaya ini, Jiao Zong juga menerima panggilan telefon dari pemohon-pemohon yang telah mengikuti ujian bertulis tetapi tidak diterima untuk mengikuti program pengajian bidang SJKC yang meminta Jiao Zong membantu dalam rayuan mereka.

“Oleh itu, untuk memenuhi kuota kemasukkan bidang SJKC, Jiao Zong akan membantu para pemohon membuat rayuan.

“Pemohon yang hendak membuat aduan perlulah emelkan maklumat seperti nama penuh, nombor telefon, salinan sijil SPM, borang permohonan dan surat pemberitahuan ujian bertulis kepada Jiao Zong,” katanya.

Berdasarkan laporan media pada 2018, kemasukan ke SJKC merosot ekoran kadar kelahiran yang menurun dan kebanyakan ibu bapa menghantar anak masing-masing ke sekolah antarabangsa.

Jumlah pelajar di SJKC dilaporkan merosot untuk 5 tahun berturut-turut yang mencecah 41,172 orang secara keseluruhannya.

Sehingga kini Malaysia masih gagal menghapuskan sistem pendidikan vernakular, meskipun sudah lebih 60 tahun merdeka.

Walaupun pernah ada usaha untuk ke arah sistem pendidikan satu aliran melalui cadangan penubuhan sekolah wawasan, ia tetap gagal dilaksanakan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button