Berita Utama

Kedai runcit jadi modus operandi sindiket judi

Ada juga pemilik premis jual kad prabayar kaburi mata pihak berkuasa

BANGI, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – Satu daripada enam premis perniagaan yang menjalankan kegiatan judi loteri haram di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) menjadikan belakang kedai runcit sebagai modus operandi perjudian.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, premis itu diserbu dalam Ops Dadu yang dijalankan semalam oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU.

Dalam operasi itu katanya, enam premis diserbu di lokasi berbeza iaitu di Butterworth (dua), Tasek Gelugor (dua) dan masing-masing satu di Mak Mandin serta Seri Pinang.

“Dalam serbuan itu, kita menahan lima lelaki dan seorang wanita tempatan untuk siasatan lanjut. Semua mereka berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Noorzainy berkata, selain kedai runcit, ada juga pemilik premis yang menjual kad prabayar di premis mereka untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Dalam serbuan itu juga katanya, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan judi haram serta wang tunai berjumlah RM353.

“Semua tangkapan disiasat di mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(i) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kita akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi membanteras kegiatan judi loteri awam haram dan judi dalam talian selain memastikan daerah SPU bebas daripada aktiviti tidak sihat ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button