Berita Utama

Kes rasuah, salah guna perlu ditangani hingga akar umbi

Berpangkat tinggi juga perlu disiasat, bukan bawahan saja

BANGI, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – Isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah perkara serius yang perlu ditangani dengan bijak dan telus oleh kerajaan.

Pengerusi Badan Perhubungan BERJASA Negeri Perak, Ustaz Haji Shaharuzzaman Bistamam berkata, sekian lama perkara ini terus berlaku sama ada di kalangan pemimpin negara, ahli politik mahupun penjawat awam.

“Sudah pasti yang ramai terbabit adalah di kalangan orang Melayu Islam. Justeru, budaya ini perlu dipandang serius dan ditamatkan secepat mungkin.

“Sikap pilih bulu dan wujudnya pelindung kepada amalan ini adalah amat tidak wajar.

“Mereka yang diambil tindakan sebahagian besarnya hanyalah golongan bawahan sedangkan golongan yang berkedudukan tinggi serta berpengaruh terselamat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam pada itu, Ustaz Shaharuzzaman menegaskan bahawa isu amanah dan integriti tidak wajar dipandang sepi kerana mengharapkan laba dan kekayaan segera.

Tegasnya, amanah rakyat dibahu mereka – perlu dilaksanakan dengan telus, amanah dan saksama.

“Islam mengajar tamadun sebuah watan mesti dibina di atas dua asas iaitu pembangunan material dan juga pembangunan jati diri manusia itu sendiri.

“Kedua-dua perkara ini mesti dilatih dan terapkan kepada para penjawat awam khususnya. Barulah lahir mereka yang benar-benar amanah, berintegriti dan berwibawa.

“Sehubungan itu, BERJASA meminta agar pihak kerajaan khususnya PDRM dan SPRM segera berusaha menyelesaikan permasalahan ini hingga ke akar umbi sebelum perkara yang lebih buruk berlaku demi memelihara kemuliaan watan tercinta ini.

“Badan-badan bukan kerajaan dan orang-orang perseorangan hendaklah terus memberi kerjasama dalam menjayakan perkara besar ini,” katanya.

Sebelum ini, Pengusaha Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Selain itu dia turut mendakwa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis disyaki menerima suapan daripada sindiket yang menjalankan kegiatan haram berkenaan.

Susulan dakwaan itu, sembilan pegawai dan anggota penguat kuasa MBSA termasuk seorang berpangkat ketua jabatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button