Berita UtamaDunia

Ketua Parlimen Turki kecam perjanjian khianat UAE-Israel

Mustafa anggap normalisasi hubungan dengan Israel memalukan

ANKARA, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – Perjanjian Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara haram Israel untuk menormalisasi hubungan telah mendapat pelbagai kritikan pelbagai pihak termasuk Turki.

Terbaharu, Ketua Parlimen Turki, Mustafa Sentop mengecam penjanjian itu selain menyifatkannya sebagai memalukan terutama apabila membabitkan Israel.

“…yang menakluk wilayah Palestin, yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan mengkhianati perjuangan Palestin.

“Saya mengutuk UAE dari sini,” katanya, menurut agensi berita Anadolu.

Pada masa sama, Mustafa yang turut menilai sikap Perancis di timur Mediterannean berkata, Presiden negara dengan mercu tanda Menara Eiffel, Emmanuel Macron, yang kini berada dalam masalah politik sedang mengambil langkah ke arah politik domestik.

“Bagaimanapun, saya beranggapan beliau tidak mempunyai idea yang serius mengenai kesan pelanggaran undang-undang antarabangsa kelak,” katanya.

Mengulas mengenai Afrika Utara, Mustafa menegaskan bahawa, Turki adalah satu-satunya negara yang secara sah hadir di Libya menurut undang-undang antarabangsa.

Tegasnya lagi, semua negara, terutama Perancis, harus menghormati perdamaian di dunia, terutama di rantau itu dan undang-undang antarabangsa.

Selain itu, Bahrain kemungkinan akan mengikuti UAE dalam menandatangani perjanjian damai dengan Israel, kata seorang pegawai Israel semalam.

Saluran televisyen Hebrew, Kan memetik pejabat yang tidak disebutkan namanya mengatakan, ‘Bahrain diharapkan menjadi negara berikutnya, yang akan menjalin hubungan rasmi dengan Israel.’

Terdahulu, Trump membuat pengumuman bahawa UAE dan Israel secara formal telah menormalisasi hubungan.

Sebagai pertukaran, Israel dijangka akan ‘menangguhkan’ rancangan untuk mengilhak sejumlah besar Tebing Barat yang diduduki.

Bagaimanapan pemimpin Palestin menganggap perjanjian itu sebagai pengkhianatan dan mengecam perjanjian trilateral (tiga pihak) yang dibuat antara UAE, Israel dan AS.

Sebelum ini, Israel telah menandatangani perjanjian damai dengan Mesir dan Jordan, masing-masing pada 1979 dan 1994. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button