Berita Utama

Tiga rentung, sembilan terselamat dalam kemalangan di Segamat

Maklumat mangsa belum diperoleh, siasatan masih dilakukan

JOHOR BAHRU, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad  – Tiga rentung manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Genuang-Tenang, Kampung Melayu Raya Segamat, Segamat malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat Pegawai Bomba Kanan II Fuad Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan  pada 10.47 malam dan 15 anggota berserta tiga jentera daripada BBP Segamat dan Labis digegaskan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi didapati dua kereta iaitu jenis Honda Accord dan Proton Saga terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya selepas kebakaran dipadamkan, pihaknya menemukan tiga mangsa yang rentung iaitu satu di tempat duduk pemandu Honda Accord dan dua lagi ditemukan di dalam kereta Proton Saga.

Nahas turut menyaksikan sembilan lagi mangsa yang menaiki tiga lagi kenderaan, iaitu tujuh yang menaiki Proton Saga berlainan dan masing-masing seorang lelaki yang memandu Perodua Alza dan Proton Wira mengalami kecederaan.

Menurutnya, setakat ini maklumat mangsa belum diperoleh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti mangsa serta punca nahas. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button