UAE-Israel tandatangani perjanjian R&D COVID-19
Perjanjian diplomatik ditentang kerana dianggap khianat pada Palestin
ABU DHABI, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – Firma dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara haram Israel menandatangani perjanjian untuk bersama-sama mengembangkan penyelidikan dan kajian mengenai novel coronavirus, lapor agensi WAM.
Perjanjian itu berlaku dua hari selepas perjanjian diplomatik mengejutkan antara UAE dan negara penjajah Israel untuk menormalkan hubungan – yang mendapat tentangan dan kritikan kerana dianggap pengkhianatan terhadap Palestin.
Kesepakatan antara UEA dan Israel juga dikatakan satu peralihan bersejarah yang akan menjadikan negara Teluk Arab ketiga menjalin hubungan diplomatik dengan negara Yahudi.
WAM dalam satu kenyataan berkata, perjanjian komersial strategik antara APEX National Investment (APEX), UAE dan TeraGroup, Israel ditandatangani di Abu Dhabi, semalam.
Pengerusi APEX, Khalifa Yousef Khouri berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama ini yang dianggap sebagai perniagaan pertama untuk memulakan dagangan, ekonomi dan kerjasama sektor perniagaan UAE-Israel.
Katanya, perjanjian itu akan memanfaatkan umum menerusi pengukuhan penyelidikan dan kajian COVID-19.
Kedua-dua syarikat itu berharap untuk menghasilkan kit ujian pantas (rapid test) COVID-19.
WAM memetik Pengerusi TeraGroup, Oren Sadiv sebagai berkata, pihaknya kini memeterai perjanjian dengan APEX dan berharap mencapai objektif digariskan bagi manfaat semua pihak dari segi ekonomi
Jun lalu, UAE berkata, dua syarikat swasta dan dua syarikat Israel akan bekerjasama dalam projek perubatan, termasuk memerangi coronavirus baharu.
Dua kontraktor pertahanan Israel pada Julai mengumumkan kerjasama dengan syarikat teknologi yang berpangkalan di Abu Dhabi, Group 42 untuk mengembangkan teknologi bagi membantu memerangi wabak itu. – Agensi