Dunia

7 militan maut dalam 2 pertempuran berasingan di Pattani

3 anggota keselamatan didapati cedera dalam pertempuran itu

BANGKOK, 27 Zulhijjah 1441H, Isnin – Pihak berkuasa Thailand mengesahkan tujuh yang disyaki anggota militan maut manakala tiga anggota keselamatan cedera dalam dua insiden di Pattani, selatan negara itu.

Jurucakap Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4, Mejar Jeneral Pramote Prom-in, berkata pasukan keselamatan turut merampas sembilan senjata api.

Dalam kejadian pertama pada Jumaat lalu, beliau berkata, pasukan keselamatan menjumpai kem sementara militan di daerah Yarang, Pattani.

“Kami berunding dengan militan itu tetapi mereka bertindak balas lalu mencetuskan pertempuran. Dua militan terbunuh manakala tiga anggota keselamatan cedera.

“Kami percaya kem itu didirikan sejak enam bulan lalu bagi melancarkan keganasan besar,” katanya menerusi kenyataan.

Pada Sabtu, Pramote berkata pihak berkuasa terserempak dengan tiga lagi militan yang dipercayai daripada kumpulan sama sedang bersembunyi di kawasan sawah padi di Pattani.

Katanya, rundingan gagal dan ketiga-tiga militan itu enggan menyerah diri, mencetuskan insiden tembak-menembak.

“Selepas itu, kami menemukan dua mayat di sawah padi,” katanya.

Beliau berkata, pasukan keselamatan kembali ke lokasi pertempuran itu pada Ahad dan menemukan satu mayat di sawah dan dua lagi mayat di kem sementara.

Katanya, tiga daripada militan yang terbunuh sudah dikenal pasti dan empat lagi masih dalam proses. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button