Pendapat

Apa yang berlaku 10 tahun sebelum merdeka

Malaysia dibentuk dalam acuan bercanggah sebelum merdeka

BULAN ini cukup 63 tahun selepas 1957.

Saya memang suka baca catatan cerita dan sejarah sebelum 1957, khususnya 10 tahun sebelum 1957. Daripada banyak cerita dan catatan yang saya baca, ada satu perkara besar yang saya faham:

Malaysia hari ini dibentuk dalam acuan yang bercanggah dengan acuan asal (sebelum merdeka), iaitu acuan penjajah/kolonialis, menggunakan satu kerangka iaitu kerangka perundangan Inggeris. Kerangka ini lebih dominan dan kuat berbanding kuasa politik.

Politik dalam tempoh 10 tahun itu dipastikan oleh penjajah untuk sekadar menjadi instrumen pembentukan kerangka itu sahaja dan bukannya sebagai platform penentuan kuasa sebenar di Tanah Melayu.

Lihat berapa ramai ahli politik Melayu prakemerdekaan yang disusun supaya mengaji undang-undang Inggeris di tanah British. Lihat mengapa proses Suruhanjaya Reid menjadi satu proses yang sangat penting berbanding semua pilihan raya yang dibenarkan oleh British sebelum merdeka.

Ada ahli politik Melayu yang sedar hal ini dan tidak lalai dengan gaduh-gaduh politik syok sendiri. Di tempoh 10 tahun sebelum merdeka yang saya pasti sangat celik soal ini ialah ahli politik seperti Dr Burhanuddin Al-Helmi dan Dr Zulkifli Muhammad (dalam PAS ketika itu). Sibuk politik mereka adalah pada memastikan kerangka perundangan Inggeris (khususnya dalam soal Perlembagaan) tidak menghapuskan acuan dan kerangka asal Tanah Melayu.

Kita pun tahu akhirnya suara mereka tidak dipandang dan diketepikan oleh Suruhanjaya Reid (kerana UMNO juga). Akhirnya yang dibawa berbincang ialah ahli politik Melayu yang berkepala undang-undang Inggeris dan ‘submissive’ kepada kerangka perundangan kolonial.

Ahli politik bangsa lain pun sedar soal ini. Boleh baca bagaimana Tan Cheng Lock mengambil inspirasi daripada Ceylon untuk memasukkan format baru bagi negara pasca kolonial dalam Perlembagaan, yang langsung tidak peduli soal letak duduk penduduk asal dan budaya asal sebelum penjajahan (‘reset’ semua selepas merdeka).

Pendekkan cerita; perubahan besar melanda Tanah Melayu selepas terpasaknya kerangka perundangan Inggeris dan Perlembagaan yang lahir daripada rahim pemikiran Inggeris (dengan sedikit ruang ‘ventilation’ sahaja untuk penduduk pribumi dan agama Islam).

Tidak keterlaluan saya katakan bahawa politik di Malaysia baik politik sesama Melayu mahupun politik secara umum berbilang bangsa, kesemuanya hanya berlegar dan berpusing-pusing dalam kerangka itu sahaja. Demikianlah betapa kuatnya kerangka itu dan betapa pentingnya ia dalam memastikan acuan sebuah negara yang dijajah agar kekal berada dalam bentuk yang diingini oleh bangsa yang menjajah.

Saya tak pasti sejauh mana orang Melayu (yang paling teruk dizalimi dan dinafikan hak sebagai tuan tanah yang berdaulat semenjak penjajahan British) mahu mengambil pelajaran daripada apa yang telah berlaku 10 tahun sebelum kemerdekaan dan 63 tahun sesudahnya.

Masih lagi selesa dengan politik sekitar soal-soal kehidupan harian sahaja?

Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
CEO IRIS Institute

http://fokus.my/apa-yang-berlaku-10tahun-sebelum-merdeka/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button