Dunia

Bahrain, Oman ikut jejak UAE normalisasi hubungan Israel?

Zionis dakwa bakal jalin hubungan dengan negara Arab, Islam Afrika

TEL AVIV, 27 Zulhijjah 1441H, Isnin – Rejim pengganas Israel mendakwa, Bahrain dan Oman bakal menjadi negara Teluk berikutnya yang akan mengikut jejak langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam menormalisasi hubungan dengan Tel Aviv. 

Menteri Perisikan Israel, Eli Cohen mendakwa, pihaknya akan mengikat lebih banyak perjanjian dengan negara Teluk dan negara Islam lain di Afrika. 

“Setelah perjanjian ini (dengan UAE), akan ada perjanjian tambahan bersama negara Teluk dan negara muslim lain di Afrika. 

“Saya fikir bahawa Bahrain dan Oman pasti ada dalam agenda ini. Selain itu, kemungkinan pada tahun akan datang akan ada perjanjian damai dengan negara-negara di Afrika, antaranya Sudan,” katanya. 

Sebelum ini, Bahrain dan Oman memuji kesepakatan UAE-Israel – yang mendapat kecaman hebat oleh pihak antarabangsa termasuk Turki.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pernah bertemu dengan pemimpin Oman dan Sudan, sekitar dua tahun lalu. 

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) mendakwa, White House telah berhubung dengan banyak negara di rantau, sebagai usaha untuk mengembangkan hubungan dan perjanjian dua pihak. 

Pegawai berkenaan enggan menamakan negara-negara terbabit, tetapi mendakwa ia adalah negara Arab dan muslim di Timur Tengah serta Afrika. 

Minggu lalu, Israel dan UAE mengumumkan langkah normalisasi hubungan diplomatik dan memperluaskan hubungan baharu. Kesepakatan itu dilakukan dengan bantuan AS, sebagai agenda penentangan terhadap Iran.

Keputusan UAE itu bagaimanapun mendapat kecaman daripada rakyat dan pemimpin Palestin, yang menyifatkan perjanjian dengan negara penjajah berkenaan sebagai pengkhianatan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button