Berang digelar pengkhianat, UAE panggil diplomat Iran
Presiden Iran dakwa UAE buat silap pulih hubungan dengan Israel
DUBAI, 27 Zulhijjah 1441H, Isnin – Emiriah Arab Bersatu (UAE) memanggil diplomat Iran di Abu Dhabi bagi membantah ucapan Presiden negara itu, yang digambarkan Kementerian Luar sebagai tidak boleh diterima, lapor agensi berita WAM, semalam.
Presiden Iran, Hassan Rouhani dalam ucapannya kelmarin berkata, UAE telah melakukan ‘kesilapan besar’ selepas mencapai kesepakatan untuk menormalkan hubungan dengan Israel dan menegaskan tindakan itu sebagai pengkhianatan oleh negara Teluk.
“Mereka (UAE) patut lebih berhati-hati. Mereka melakukan kesilapan besar, perbuatan khianat,” kata Rouhani mengenai perjanjian yang diumumkan pada Khamis.
WAM melaporkan Kementerian Luar memanggil diplomat Iran dan menyampaikan kepada mereka nota keras bagi membantah ancaman yang terkandung dalam ucapan Presiden Iran itu.
“Ucapan itu tidak dapat diterima dan menimbulkan kemarahan serta memberi kesan serius kepada keselamatan dan kestabilan di wilayah Teluk,” katanya.
Kementerian turut mengingatkan Iran akan tugasnya untuk melindungi misi diplomatik UAE di Tehran.
Media Iran melaporkan, sekumpulan kecil penunjuk perasaan berkumpul di depan kedutaan UAE di Tehran, malam semalam bagi memprotes perjanjian itu, yang menjadikan UAE sebagai negara Arab Teluk pertama – dan negara Arab ketiga selepas Mesir dan Jordan – memiliki hubungan diplomatik penuh dengan Israel.
Israel dan UAE menjalin hubungan diplomatik penuh dalam perjanjian diusahakan Amerika Syarikat yang akan menyaksikan negera penjajah itu menangguhkan rancangan aneksasi tanah yang sudah diduduki secara haram. – Agensi