Berita Utama

Bukit Melaka: ISMA serah petisyen sokongan rakyat kepada PERZIM

Digesa timbang usul dari sudut sejarah tanpa isu kaum, agama

BANGI, 27 Zulhijjah 1441H, Isnin – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka menyerahkan petisyen sokongan kepada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), berhubung usul penukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka, hari ini.

Petisyen yang mendapatkan 16,388 tandatangan rakyat Malaysia itu diserahkan kepada Pengurus Besar PERZIM, Mohd Nasruddin Rahman di Kompleks Warisan Melaka, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Penyerahan itu diketuai Ketua Perhubungan Negeri ISMA Melaka, Ustaz Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim dan Yang Dipertua ISMA Melaka Tengah, Dr Khair Razlan Othman.

Petisyen setebal 190 muka surat itu adalah tanda sokongan rakyat Malaysia terhadap cadangan PERZIM mengembalikan semula nilai sejarah bukit berkenaan, yang awalnya milik kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Mohd Khoushaini berkata, tandatangan petisyen berkenaan adalah bukti bahawa rakyat Malaysia mahu bersama-sama mengembalikan nama asalnya iaitu Bukit Melaka.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu melihat usul itu secara positif, dan berpegang kepada sejarah tanpa menjadikannya isu perkauman atau agama.

“Dokumen yang diserahkan hari ini adalah mewakili suara majoriti rakyat Malaysia yang mahukan penukaran nama tersebut dilaksanakan, sekali gus menyokong kertas kerja PERZIM untuk menukar nama berkenaan sebelum dibawa ke peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk diluluskan,” katanya.

Petisyen itu dilancarkan secara atas talian di laman web change.org pada 19 Julai lalu, dan masih diteruskan sehingga ke hari ini.

Ia juga selaras dengan slogan kempen Pemuda ISMA sempena bulan kemerdekaan ke-63 tahun, iaitu ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’, bagi mengembalikan jati diri negara Malaysia yang berteraskan Melayu dan Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button