Berita Utama

COVID-19: 12 kes baharu dikesan KKM hari ini

Ia melibatkan 10 kes penularan dalam negara, 2 lagi import

KUALA LUMPUR, 27 Zulhijjah 1441H, Isnin – Kes positif COVID-19 hari ini mencatatkan 12 kes baharu, dengan sepuluh daripadanya penularan dalam negara, manakala dua lagi adalah kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif adalah 9,212 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 211 kes.

Beliau berkata kesemua sepuluh kes penularan dalam negara itu melibatkan warga tempatan, iaitu satu kes saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh, empat kes Kluster Tawar dan dua kes Kluster Sala di Kedah serta tiga kes daripada Kluster Tawar di Pulau Pinang.

“Manakala dua kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara pula adalah masing-masing satu kes di Syria dan Filipina,” katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 17 kes yang telah pulih daripada wabak itu pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,876 kes (96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Katanya, sehingga kini, terdapat lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut Dr Noor Hisham tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes.

Mengulas mengenai Kluster Tawar, beliau berkata dengan penambahan kes baharu itu menjadikan mereka yang dikesan positif COVID-19 bagi kluster itu adalah sebanyak 46 kes.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 1,135 orang telah disaring dalam kluster ini. Seramai 918 individu telah disaring di Kedah dengan 39 kes dikesan positif, 655 kes negatif, dan 224 lagi masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang pula, 208 individu disaring dengan tujuh kes dikesan positif, 175 individu negatif; dan 26 individu masih menunggu keputusan sementara di Perak (sembilan disaring), tiada kes dikesan positif, lapan individu negatif manakala satu lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, bagi Kluster Sala pula, dua lagi individu dilaporkan positif, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak enam kes.

Seramai 273 orang telah disaring dalam kluster berkenaan membabitkan 269 individu di Kedah, enam didapati positif, 214 negatif, manakala 49 lagi menunggu keputusan, sementara di Pulau Pinang pula, empat individu telah disaring dan kesemuanya didapati negatif.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata aplikasi MySejahtera versi 24 kini membolehkan fungsi check-in dilakukan oleh pengguna dan juga tanggungan secara serentak apabila memasuki sesuatu premis.

“Fungsi ini telah dibangunkan bagi memudahkan dan mempercepatkan proses check-in selaras dengan tujuan kerajaan mewajibkan semua individu yang memasuki mana-mana premis untuk merekodkan kehadiran,” katanya.

Beliau berkata tiada had ditetapkan bagi bilangan nama yang boleh dimasukkan sebagai tanggungan seseorang individu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button