Berita Utama

Demi untung politik, UAE lupa sentimen kekejaman Israel

WIBAWA sifat normalisasi khianati umat Islam termasuk Palestin

BANGI, 27 Zulhijjah 1441H, Isnin – Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA) menentang sekeras-kerasnya perjanjian normalisasi hubungan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan rejim pengganas Israel.

Presiden WIBAWA, Azrul Azham menyifatkan perjanjian – hubungan diplomatik dengan Zionis – itu sebagai pengkhianatan yang sangat dasyat dilakukan UAE terhadap umat Islam, khususnya rakyat Palestin.

“Saya tidak faham mengapa langkah ini diambil secara penuh tanpa melihat kepada kesan penderitaan rakyat Palestin yang masih berjuang sehingga hari ini untuk tanah mereka sendiri.

“Adakah ini perdamaian Israel dengan negara Arab atau negara Arab mula mengikut telunjuk Israel?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Azrul menegaskan penentangan itu ketika persidangan konferensi virtual pimpinan WIBAWA bersama beberapa pemimpin tertinggi gerakan mahasisiwa antaranya PERINTIS dan WAWASAN.

Beliau berkata, tindakan UAE itu adalah satu pengkhianatan terbesar, kerana kerajaan negara itu sepatutnya menjadi pembela umat Islam khususnya di Palestin.

“Inilah hasilnya jika keuntungan politik diutamakan tanpa mengambil kira sentimen perikemanusiaan yang telah dilakukan rejim Zionis menzalimi nyawa umat Islam yang tidak bersalah.

“UAE adalah negara Arab yang ketiga selepas Mesir dan Jordan mengiktiraf negara Zionis tersebut dengan menjalinkan hubungan diplomatik secara sah.

“Maka dengan ini, secara rasminya pembukaan kedutaan besar, penerbangan langsung dan kesepakatan bilateral yang lain akan ditubuhkan di antara dua negara ini,” katanya.

Mewakili mahasiswa seluruh Malaysia, Azrul berkata, WIBAWA kekal berpegang teguh bahawa Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin, dan mengiktiraf kedaulatannya.

“Jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihat generasi muda mereka hari ini (Saidina Ali R.A).

“Ayuh kita bangkit bersama sebagai satu pasukan dan sumbangkan kebijaksanaan, kekuatan dan keberanian mahasiswa di dalam satu tenaga bersama WIBAWA,” katanya.

Minggu lalu, Israel dan UAE mengumumkan langkah normalisasi hubungan diplomatik dan memperluaskan hubungan baharu.

Kesepakatan itu dilakukan dengan bantuan Amerika Syarikat (AS), sebagai agenda penentangan terhadap Iran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button