Berita Utama

Isu kemarau tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Turut menarik perhatian Ahli Parlimen adalah isu 'scammer'

KUALA LUMPUR, 27 Zulhijjah 1441H, Isnin – Persiapan negara menghadapi musim kemarau dan impaknya terhadap empangan di seluruh negara antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) kepada Menteri Alam Sekitar dan Air.

Selain itu, isu mengenai kes sindiket penipuan kewangan (scammer) yang berlaku ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga dijangka menjadi tumpuan pada persidangan, hari ini.

Soalan berkenaan diajukan oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kepada Menteri Dalam Negeri yang antara lain turut meminta kementerian terbabit menyatakan kaedah serta langkah berkesan bagi mengekang sindiket penipuan itu.

Soalan mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi permohonan pemastautin tetap Malaysia turut diajukan kepada menteri berkenaan oleh Natrah Ismail (PH-Sekijang).

Dewan Rakyat juga dijadualkan menyambung perbahasan bagi usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button