Berita Utama

Nelayan Vietnam maut ditembak APMM

Berlaku provokasi hingga anggota APMM lepaskan tembakan

KOTA BHARU, 27 Zulhijjah 1441H, Isnin – Polis Kelantan mengesahkan seorang nelayan lelaki warga Vietnam, maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata kejadian itu berlaku pada pukul 11.40 malam tadi, kira-kira 81 batu nautika dari perairan Tok Bali, Pasir Puteh.

“Siasatan awal polis mendapati anggota APMM yang sedang menjalankan rondaan di bawah Op Kuda Laut, telah menahan sebuah bot nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh perairan negara.

“Ketika bot berkenaan ditahan, berlaku provokasi menyebabkan anggota APMM berkenaan telah melepaskan tembakan dan terkena tubuh mangsa yang berumur kira-kira 30-an itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Shafien berkata tembakan yang dilepaskan oleh anggota APMM berkenaan adalah ketika bertugas dan mempunyai peruntukan undang-undangnya yang tersendiri.

Beliau berkata mayat nelayan warga asing itu telah dibawa ke darat dan sedang menunggu untuk dibedah siasat di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh hari ini, manakala baki 12 nelayan asing yang berada di dalam bot berkenaan juga sedang dibawa ke darat oleh APMM ketika ini untuk siasatan lanjut.

Katanya buat sementara waktu, pihaknya menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan.

“Pihak kami masih belum menerima maklumat lengkap berkaitan kes ini kerana APMM Kelantan masih belum membuat laporan polis,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button