Dunia

Selepas Russia, China pula umum vaksin pertama COVID-19

Percubaan fasa ke-2 vaksin dapati ia selamat, beri tindak balas imun

BEIJING, 27 Zulhijjah 1441H, Isnin – Selain Russia, China – negara yang paling awal merebaknya wabak coronavirus – mengesahkan paten vaksin COVID-19 pertamanya semalam, lapor media tempatan.

China mendakwa telah meluluskan paten vaksin pertama COVID-19, yang dibangunkan oleh pasukan pakar penyakit berjangkit PLA, Chen Wei. 

Terdahulu, percubaan fasa kedua vaksin mendapati bahawa ianya selamat dan memberi tindak balas imun, lapor Jaringan Televisyen Global China (CGTN). 

Penyelidikan itu membabitkan 320 sukarelawan berusia antara 18 dan 59 tahun, di mana 96 orang mengambil bahagian dalam ujian klinikal fasa pertama dan 224 lagi bagi fasa kedua. 

Agensi berita Xinhua berkata, hasil vaksin secara efektif mendorong meneutralkan antibodi dan menunjukkan kemampuan zat yang baik untuk memacu tindak balas imun. 

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan Russia mengumumkan bahawa negara itu telah memulakan pengeluaran vaksin COVID-19 pertamanya, dengan ujian klinikal dijalankan ke atas doktor dan kakitangan kesihatan sebelum dicuba ke atas orang awam. 

Russia secara rasmi mendaftarkan vaksin coronavirus pertama di dunia, yang dibangunkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology. 

Pengumuman itu menimbulkan keraguan kepada seluruh dunia ketika Russia merancang meneruskan percubaan fasa ketiganya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button