Berita Utama

170 lembu, 32 kambing Projek Korban, Akikah di 6 buah negara

12,380 keluarga miskin di kawasan pedalaman terima daging korban rakyat Malaysia

BANGI, 28 Zulhijjah 1441H, Selasa – Sebanyak 170 ekor lembu dan 32 ekor kambing telah disembelih untuk pelaksanaan ibadah korban tahun ini, menerusi Projek Korban dan Akikah Yayasan Ikhlas.

Projek berkenaan telah dilaksanakan di enam buah negara termasuk Malaysia (Sabah dan Sarawak), Thailand, Aceh, Kemboja, Bangladesh dan India.

Pengerusi Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, projek berkenaan menjadi program tradisi yang dilaksanakan pertubuhan itu sejak 2013.

“Sebanyak enam buah negara menerima manfaat dari daging korban yang dikumpulkan dari rakyat Malaysia pada tahun ini. Yayasan Ikhlas telah berjaya mengumpul lebih 1,100 bahagian lembu Korban dan Akikah daripada orang ramai dan juga badan korporat.

“Bencana COVID-19 yang melanda dunia tidak menghalang projek Korban dan Akikah dilaksanakan. Ia terus dijalankan dengan mematuhi SOP pergerakan di setiap kawasan.

“Walaupun Yayasan Ikhlas tidak bergerak ke luar negara, projek korban dilaksanakan oleh rakan-rakan NGO di kawasan setempat dengan baik,” katanya.

Mohd Rosli berkata, kira-kira 12,380 buah keluarga miskin, fakir dan mualaf telah menerima daging-daging korban hasil penyertaan rakyat Malaysia yang peduli dan prihatin.

Beliau berkata, meskipun jumlah penyertaan berkurang berbanding tahun lalu, namun sokongan rakyat negara ini untuk melaksanakan ibadah korban ke atas individu yang memerlukan masih kuat dan utuh, walaupun ketika dunia menghadapi wabak COVID-19.

“Kami di Yayasan Ikhlas mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada orang ramai dan badan korporat yang bersama kami.

“Semoga Allah terima segala amal-amal ini dan menjadikan ia saham untuk kita menuju syurga Allah kelak,” katanya.

India merekodkan permintaan penyertaan tertinggi dalam Projek Korban dan Akikah, di mana sebanyak 60 ekor lembu berjaya dikumpul dan diagihkan kepada komuniti Islam yang berada di negara itu.

Projek itu dijalankan dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA).

Selain itu, Bangladesh berjaya mengumpul sebanyak 52 ekor lembu dan 32 ekor kambing dalam projek sama.

Kedua-kedua jenis haiwan korban itu disembelih sebelum diagihkan kepada fakir miskin dan pelarian Rohingya di Bangladesh.

Badan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin turut bersama Yayasan Ikhlas dalam menjayakan misi kali ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button