Berita Utama

Ambil iktibar tragedi Beirut, pastikan bahan kimia diurus ikut SOP

Krisis kemanusian, ekonomi dijangka landa Lubnan masa terdekat

BANGI, 28 Zulhijjah 1441H, Selasa – Negara perlu mengambil iktibar tragedi letupan di Beirut – khususnya aspek pengurusan penyimpanan bahan kimia secara skala besar terutama di kawasan pelabuhan dan perindustrian.

Pensyarah Kanan Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Faizuan Abdullah berkata, penyimpanan bahan kimia berbahaya mesti diurus dengan amalan paling baik dan mematuhi semua piawaian ditetapkan.

Pemantauan dan penguatkuasaan juga mesti dilakukan dengan kerap dan teratur dalam semua aspek prosedur operasi standard (SOP), katanya.

Beliau berkata, bukan hanya mereka yang berada dalam industri, tempat kerja, pelabuhan dan pengangkutan udara sahaja perlu menguruskan bahan kimia berbahaya dengan betul. Kita di rumah juga seharusnya mengamalkan prosedur keselamatan.

“Contohnya, penyembur aerosol (pembunuh nyamuk dan cat) tidak boleh diletakkan berhampiran sumber api seperti dapur kerana ia juga akan menyebabkan letupan dan kebakaran di rumah.

“Tuntasnya, undang-undang dan peraturan khas bagi pengurusan bahan kimia berbahaya sudah lengkap dan tersusun rapi. Bagaimanapun, pematuhan dan penguatkuasaan berkesan perlu diperkasakan.

“Jika semua pihak mengambil berat perkara ini bermula awal dan masing-masing tidak bersikap lepas tangan, tragedi sebesar letupan di Beirut mungkin boleh dielakkan dari awal,” katanya dalam tulisan yang siarkan Berita Harian, hari ini.

Mengimbas letupan di Beirut – yang mengorbankan hampir 177 penduduk dan mencederakan 6,500 yang lain – Dr Faizuan berkata, insiden itu adalah letupan bukan nuklear paling besar dalam sejarah – berdasarkan kenyataan beberapa pakar daripada Universiti Sheffield, United Kingdom (UK).

Katanya, letupan berskala besar membabitkan lebih 2,700 tan bahan kimia ammonium nitrat mengingatkan kita kepada peristiwa pengeboman di Hiroshima.

“Impak serius dari segi ekonomi dan krisis kemanusian dijangka akan mula menyelubungi Lubnan pada masa terdekat.

“Tentunya peristiwa yang berlaku harus diambil pengajaran termasuk dalam aspek keselamatan pengurusan bahan kimia,” katanya.

Mengikut rekod, ammonium nitrat digunakan secara meluas sebagai bahan asas dalam industri pertanian seperti dalam pembuatan baja dan digunakan sebagai peledak lombong.

Ini bukan kali pertama tragedi letupan berpunca daripada stor penyimpanan ammonium nitrat. Pada 2015, letupan di Tianjin, China mengorbankan 165 nyawa, manakala letupan di Ryongchon, Korea Utara pada 2004 mengorbankan 160 nyawa.

Sebelum itu, letupan di Galveston Bay, Texas, Amerika Syarikat (AS) pada 1947 mengorbankan 581 nyawa dan letupan di Oppau, Jerman pada 1912 mengorbankan hampir 600 nyawa. Semuanya berpunca sumber bahan kimia sama, iaitu ammonia nitrat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button