China, India, Brazil mungkin negara awal terima vaksin Russia
Terima permintaan awal untuk 1 bilion dos vaksin dari lebih 20 negara
MOSCOW, 28 Zulhijjah 1441H, Selasa – Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS), BRICS – Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan – mungkin menjadi penerima asing pertama vaksin COVID-19 Russia, Sputnik V.
Profesor Ruslan Abramov dari Universiti Ekonomi Plekhanov Russia berkata, keutamaan mungkin diberikan kepada negara antaranya China, India, Brazil, Serbia dan negara Eropah timur yang lain.
Namun, katanya, terlalu awal untuk bercakap mengenai Sputnik V sebagai projek komersial dan Russia terlebih dahulu akan memenuhi keperluan utuk rakyatnya.
“Ada beberapa alasan untuk itu. Pertama, kita harus benar-benar memastikan vaksin itu selamat dan berkesan dalam jangka panjang.
“Kemudiannya, ia harus memenuhi permintaan di pasaran domestik. Dan hanya selepas itu kita boleh membincangkan mengenai aspek komersial,” katanya.
Russia secara rasmi mendaftarkan vaksin coronavirus pertama di dunia, yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology, pada Selasa lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif RDIF Kirill Dmitriev memberitahu, negara itu telah menerima permintaan awal untuk 1 bilion dos vaksin daripada lebih 20 negara.
Mengulas lanjut, Abramov berkata, dunia kini menyaksikan fasa baharu perlumbaan vaksin dan Russia terus berada di hadapan.
“Tetapi hanya masa akan menentukan sama ada kepemimpinan ini akan berterusan dan diperkukuh.
“Jangan lupa banyak negara di dunia mempunyai pusat virologi yang menghasilkan vaksin dan mempunyai rekod baik,” kata Abramov.
Meskipun, negara Barat kelihatan kurang yakin dengan vaksin Sputnik V, yang belum lulus ujian klinikal tahap tiga, pakar itu percaya bahawa ia selamat dan berkesan.
Vaksin yang disebut sebagai Gam-Covid-Vac iaitu singkatan daripada ‘Gamaleya Covid Vaccine’, dihasilkan untuk dua suntikan bagi memanjangkan imuniti.
Perbezaan dalam setiap dos adalah jenis adenovirus yang digunakan untuk menghantar vaksin ke sel-sel badan.
Untuk kesan maksimum, ejen imunisasi harus disuntik selang dua atau tiga minggu, bagi memberi tempoh bertenang kepada sistem imun yang berlawan dengan bahan asing. – Agensi