‘Kakak Kondom’ diperalat untuk halalkan zina?
Jangan permain hukum agama yang jelas mengenai pengharaman zina
BANGI, 28 Zulhijjah 1441H, Selasa – Video ‘Kakak Kondom’ seperti diperalatkan untuk menghalalkan zina atas nama kesihatan seksual dan seks selamat.
Walaupun didakwa bertujuan untuk mendidik dan memberi kesedaran, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, tiada agama di dunia yang menggalakkan amalan seksual secara bebas.
Katanya, perkara itu dilarang tidak kira sama ada sebelum atau selepas berkahwin, apatah lagi sebagai seorang yang beragama Islam.
“Yang jelas perhubungan seks sebelum bernikah dilarang sama sekali oleh semua agama.
“Mereka yang terbabit dengan amalan yang bertentangan dengan agama ini mesti bertaubat dan tidak turut terjebak mempromosikannya.
“Jangan permainkan hukum hakam agama yang jelas dan nyata mengenai pengharaman zina,” tegasnya.
Beliau berkata demikian mengulas video ‘Kakak Kondom’ yang didakwa mengelirukan ramai pihak.
Video berkenaan mendapat kecaman netizen, rata-ratanya melihat kandungan video berkenaan seolah-olah menggalakkan kepada penzinaan.
Sebelum ini, Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, Kakak Kondom dilihat seakan satu percubaan untuk membiasakan (neutralisasi) pandangan masyakarat mengenai seks bebas, sehingga pelajar universiti seronok datang ke program ini untuk mendapatkan kondom percuma.
Beliau mempersoal, apakah rancangan Kakak Kondom ini bertujuan membiasakan anak muda tentang seks yang selamat dengan menggunakan kondom.
“Bukankah ini seakan memberikan signal kepada anak muda tentang perlakuan seks ketika muda (sebelum berkahwin)?,” soalnya.