Berita UtamaIstimewa

Mimpi ngeri 22 bulan berulang jika PH bentuk kerajaan

Rakyat Sarawak tak lupa kenyataan kurang ajar Guan Eng

BANGI, 25 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Pengalaman berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini meskipun singkat, namun sangat membekas di hati rakyat terutamanya orang Melayu dan Bumiputera.

Rata-rata menyifatkan tempoh pentadbiran PH membabitkan parti PKR, DAP dan Amanah selama 22 bulan itu bagaikan mimpi ngeri yang tidak mahu diulangi.

Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengakui negara berhadapan pelbagai situasi sepanjang tempoh PH mentadbir.

Malah, Kerajaan Sarawak turut mendapat kesan yang amat buruk daripada sistem pentadbiran negara yang tidak terurus ketika zaman PH.

“Banyak projek yang telah diluluskan oleh kerajaan yang terdahulu sebelum kerajaan PH mentadbir negara telah dibatalkan dan situasi ini telah memaksa Kerajaan Sarawak mengambil iktibar dan menggunakan peruntukan sendiri dalam meneruskan pembangunan tersebut,” dakwanya.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg juga tidak lupa bagaimana bekas Menteri Kewangan daripada kerajaan PH, Lim Guan Eng meminta kerajaan negeri Sarawak membayar hutang sebanyak RM2.352 bilion terlebih dahulu sebelum bantuan kerajaan Persekutuan membaiki sekolah-sekolah daif disalurkan ke negeri itu.

Bukan hanya Abang Johari yang mengingati kata-kata Guan Eng, malah salah seorang pengguna laman media sosial, Muhammad Khaidir Sidek turut melahirkan ketidakpuasan hati dengan layanan Pengerusi DAP itu terhadap Sarawak.

Beliau juga mempertikaikan hasrat PH jika ingin bergabung dengan GPS untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Nak himpit GPS, teringat mulut kurang ajar DAP dulu dengan Sarawak,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook berkata, perkara yang paling ketara DAP lakukan kepada pihak yang tidak bersekutu dengannya adalah mengabaikan tanggungjawab di negeri itu.

“Apa yang DAP akan buat pada yang tak menyokong dia, dia akan hukum lawan dia, sama ada kes mahkamah atau abaikan tanggungjawab sebagai parti pemerintah.

“Contoh kes Sarawak minta peruntukan untuk sekolah usang. Guan Eng boleh hina Sarawak suruh bayar hutang dulu baru dia bagi peruntukan. 

“Walhal itu memang tanggungjawab Kerajaan Pusat, dan apa jadi lepas tu? PRN sarawak DAP-PH kalah teruk di Sarawak. Rakyat melihat,” katanya.

Sementara itu, Meor Hardi pula berkata, PH tidak wajar diberi peluang sekali lagi untuk mentadbir kerajaan Malaysia kerana pengalaman pahit itu sudah pernah dirasai.  

“Jangan bagi peluang dan ruang. Kebanyakan undi PH hanya di kalangan orang Melayu yang senang, cukup pakai dan penting perut sendiri. 

“B40, anda tepuk dada, tanya selera ya. Jangan pisang berbuah dua kali, kenang sikit perit 22 bulan mereka memerintah. Tobat dah aku, perit teramat sangat,” katanya.

Sehingga hari ini, Parlimen masih tergantung selepas gabungan parti tidak mampu membentuk Kerajaan Persekutuan. 

PH memperolehi 82 daripada keseluruhan 219 yang dipertandingkan. Bagaimanapun, sehingga petang ini pimpinan PH belum mengeluarka  sebarang kenyataan rasmi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button