Kejam! Pengganas Israel tembak mati lelaki Palestin
Lelaki pekak turut ditembak kerana tidak 'endah' arahan
BAITULMAQDIS, 28 Zulhijjah 1441H, Selasa – Seorang lelaki Palestin mati ditembak rejim pengganas Israel di Kota Lama Timur Baitulmaqdis yang diduduki atas dakwaan cuba melakukan serangan menikam pengawal sempadan.
Saksi memberitahu agensi berita Maan bahawa pengawal keselamatan Israel menembak lelaki berkenaan, yang kemudian disahkan mati di tempat kejadian berhampiran pintu masuk Bab Hutta, di luar perkarangan Masjid al-Aqsa.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dalam satu kenyataan ringkas berkata, mereka dilarang memasuki kawasan Bab Hutta untuk merawat lelaki berkenaan.
Laporan media tempatan mengenal pasti mangsa yang berusia 30 tahun dari kem pelarian Shuafat di Baitulmaqdis Timur.
Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas pengawal keselamatan Israel menembak dan mencederakan seorang warga Palestin yang mengalami masalah pendengaran yang tidak dapat mendengar arahan untuk berhenti di pusat pemeriksaan Tebing Barat.
Dalam satu kenyataan, polis Israel berkata, seorang lelaki Palestin berusia 60 tahun tidak mengendahkan arahan untuk berhenti, mendorong tentera menembaknya di pusat pemeriksaan Qalandia antara Baitulmaqdis dan bandar Ramallah.
Menurut kenyataan itu juga, lelaki berkenaan hanya mengalami cedera ringan. – Agensi