Berita UtamaDunia

Kes COVID-19 di Lubnan melonjak selepas letupan Beirut

Keadaan bertambah buruk selepas beberapa hospital Beirut musnah

BEIRUT, 28 Zulhijjah 1441H, Selasa – Kes jangkitan pandemik COVID-19 di Lubnan – negara yang mengalami krisis ekonomi – melonjak selepas letupan di Beirut baru-baru ini yang mengorbankan hampir 200 mangsa dan dan mencederakan lebih 6,500 yang lain.

Dalam tempoh 24 jam, Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, 456 jangkitan baharu wabak – menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,337 kes, dengan 105 kematian direkodkan setakat pagi ini.

Menteri Kesihatan, Hamad Hassan berkata, hospital negara sudah penuh – melebihi tahap keupayaan maksimum untuk merawat pesakit COVID-19 selepas mangsa tragedi letupan mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, hospital awam dan swasta mempunyai kapasiti sangat terbatas, baik dari segi katil rawatan di unit rawatan intensif mahupun peralatan pernafasan.

Katanya, keadaan bertambah buruk selepas beberapa hospital Beirut dilanda letupan dan tidak lagi dapat berfungsi.

“Lubnan sedang menghadapi kemelut serius dan tidak mempunyai banyak masa,” katanya dalam satu sidang media.

Dilaporkan, tiga hospital di Beirut musnah dan sekitar 25 kemudahan kesihatan lain tidak berfungsi menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Krisis kewangan dan kekurangan mata wang dolar di Lubnan menyebabkan pihak hospital tidak mampu membeli ubat-ubatan asing serta membayar gaji kakitangan mereka.

Dalam kejadian 4 Ogos lalu, pihak berkuasa mengesahkan letupan di Beirut berpunca daripada 2,750 tan ammonium nitrat yang disimpan secara tidak selamat di pelabuhan berkenaan sejak enam tahun lalu.

Bagaimanapun, kebanyakan rakyat Lubnan menyalahkan rasuah dan kegagalan kerajaan, sehingga menyebabkan tragedi letupan yang membawa kepada kerugian AS$15 bilion dan 300,000 orang hilang tempat tinggal. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close