Lelaki ‘gelang putih’ didenda RM2,500 ingkar kuarantin
Penjara lima hari jika gagal bayar denda berkenaan
BALIK PULAU, 26 Zulhijjah 1441H, Selasa – Akibat mengunjungi sebuah pusat konvensyen ketika masih dalam tempoh kuarantin wajib dengan gelang putih masih di tangan, seorang lelaki didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin di rumah.
Majistret Khalijah Mohd Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap juruteknik kilang S. Ramesh Kumar, 42, selepas dia mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara lima hari sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Ramesh Kumar didakwa dengan sengaja telah gagal mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian yang diberikan oleh Pegawai Diberi Kuasa Muhammad Ridwan Mansor di Pusat Konvensyen Spice Arena, Bayan Baru dekat sini pada 5.45 petang, 7 Ogos lepas.
Lelaki itu yang diwakili peguam Edmund Anthony Hermon didakwa mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Edmund memohon hukuman denda yang rendah dikenakan ke atas tertuduh atas alasan Ramesh Kumar telah insaf dengan perbuatannya dan tidak mahu mengulanginya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid yang memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh, mengambil kira keseriusan kes yang membabitkan ancaman penyakit berbahaya. -Bernama